Kembalinya Liga Perdana akan melengkapkan struktur Liga Malaysia

453

Baru-baru ini, khabar angin mengenai pengenalan semula Liga Perdana pada musim hadapan semakin hangat diperkatakan. 

Malaysian Football League (MFL) dikatakan sedang merancang untuk menghidupkan semula liga tersebut selepas hampir tiga musim ia dimansuhkan. 


Walaupun tiada butiran lanjut yang dikeluarkan buat masa ini, langkah ini dilihat sebagai satu usaha untuk melengkapkan struktur liga bola sepak Malaysia.

Latar belakang pemansuhan Liga Perdana

Liga Perdana sebelum ini dimansuhkan buat sementara waktu selepas MFL melakukan penstrukturan semula liga. Pada awalnya, MFL merancang untuk melibatkan 18 pasukan dalam Liga Super iaitu gabungan pasukan sedia ada di Liga Super dan enam pasukan dari Liga Perdana. 

Namun, rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila hanya 14 pasukan sahaja yang beraksi selepas dua pasukan tidak diberikan Lesen Kebangsaan kerana masalah kewangan, manakala dua lagi pasukan menarik diri.

Ketika pengumuman penstrukturan liga dibuat, MFL sudah pun memberi bayangan bahawa akan memperkenalkan semula Liga Perdana pada tahun 2025 tetapi ia tidak menjadi kenyataan dek keadaan semasa bola sepak negara.

Kepentingan pengenalan semula Liga Perdana

Pengenalan semula Liga Perdana adalah berita baik bagi perkembangan bola sepak Malaysia. 

Liga ini akan berfungsi sebagai penyambung antara liga semi-profesional (Liga M3 atau Liga A1) dan liga profesional tertinggi (Liga Super). 

Juara dan naib juara Liga A1 akan berpeluang untuk bermain di Liga Perdana, yang merupakan liga profesional divisyen kedua.

Pada masa ini, Liga Malaysia hanya mempunyai satu liga profesional tertinggi iaitu Liga Super dan ini menyukarkan pasukan dari Liga A1 untuk terus bermain di Liga Super kerana kriteria yang ketat dan keperluan bajet yang besar. 

Dengan adanya Liga Perdana, transisi pasukan dari liga semi-profesional ke liga profesional akan menjadi lebih lancar dek kriteria yang tidak terlalu ketat dan bajet yang lebih kecil berbanding Liga Super sekaligus akan memberi ruang kepada pasukan untuk merancang dengan lebih baik sebelum melangkah ke liga tertinggi.

Cabaran dan persoalan

Walaupun pengenalan semula Liga Perdana dilihat sebagai langkah positif, ia tidak terlepas daripada cabaran. Situasi bola sepak tanah air ketika ini sedang tidak stabil, dengan banyak pasukan di Liga Super menghadapi masalah kewangan yang serius. Persoalan timbul sama ada Liga Perdana mampu berjalan dengan lancar dalam keadaan sedemikian.

Namun, di bawah kepimpinan baharu MFL, iaitu Giorgio Pompili Rossi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), diharapkan perancangan yang rapi dapat dilaksanakan untuk memastikan pengenalan semula Liga Perdana berjaya tanpa menimbulkan masalah besar.

Nasib Piala MFL (Liga Simpanan)

Jika Liga Perdana diperkenalkan semula, tidak mustahil saingan Piala MFL (Liga Simpanan) akan dimansuhkan. 

Piala MFL diperkenalkan untuk memberi peluang kepada pemain berusia 23 tahun ke bawah mendapat pendedahan dan minit permainan sebagai persediaan untuk diserap ke pasukan utama di Liga Super.

Bagaimanapun, impak Piala MFL tidak seperti yang diharapkan dengan peratusan pemain muda yang diserap ke pasukan utama agak rendah, dan kos untuk mengekalkan pasukan bawah 23 tahun juga membebankan pasukan. 

Jika Piala MFL dimansuhkan, pemain-pemain muda ini masih boleh bermain dengan pasukan yang bersaing di Liga Perdana, sekaligus memberi mereka peluang untuk terus berkembang.

Melengkapkan struktur Liga Malaysia

Jika Liga Perdana benar-benar diperkenalkan semula pada musim hadapan, ia akan melengkapkan struktur Liga Malaysia. Struktur tersebut akan terdiri daripada:

Liga Super (Divisyen 1) – Liga profesional tertinggi.

Liga Perdana (Divisyen 2) – Liga profesional kedua.

Liga A1 (Divisyen 3) – Liga semi-profesional.

Liga A2 (Divisyen 4) – Liga amatur.

Liga A3 (Divisyen 5) – Liga amatur.

Struktur yang lengkap ini akan memudahkan perancangan dan perkembangan pasukan dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat profesional.

Jadi, kembalinya Liga Perdana adalah langkah penting dalam memperkukuh struktur liga bola sepak Malaysia. 

Ia bukan sahaja memberi peluang kepada pasukan semi-profesional untuk beralih ke liga profesional, tetapi juga menyediakan landasan yang lebih jelas untuk perkembangan pemain muda. 

Walaupun terdapat cabaran yang perlu diatasi, langkah ini dilihat sebagai satu ke arah yang positif untuk masa depan bola sepak tanah air.

Dengan perancangan yang rapi dan sokongan semua pihak, Liga Perdana diharap dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan bola sepak Malaysia pada masa akan datang.