Hari ini, selepas dua tahun, saya telah membawa mereka (penyokong) ke Bukit Jalil – Kpah Sherman

Penyerang import sensasi Sri Pahang FC, Kpah Sherman gembira apabila beliau menjadi wira pasukan membawa pasukan itu melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25.
Menurut Kpah, beliau mendedikasikan kemenangan itu kepada seluruh penyokong Sri Pahang yang sentiasa percaya kepada kemampuannya yang mana beliau telah merealisasikan impian penyokong untuk ke Bukit Jalil.
“Saya memberikan 100% di mana saya berlari dari minit pertama hingga minit ke-120 untuk Pahang, untuk negeri ini.
Dua tahun lalu, ketika saya menandatangani kontrak, ramai yang melontarkan komen, ‘Kami akan ke Bukit Jalil, kami akan ke Bukit Jalil.’ Hari ini, selepas dua tahun, saya telah membawa mereka ke Bukit Jalil.
Itu yang paling penting untuk negeri ini dan untuk saya,”
katanya.
Pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Temerloh semalam menyaksikan Kpah berjaya menjaringkan gol di masa tambahan untuk mengesahkan kemenangan skuad Tok Gajah ke atas Sabah FC dengan agregat 3-2.
Dalam pada itu, Kpah juga berkata kemenangan itu bukan hasil usahanya seorang tetapi keseluruhan pasukan.
“Ini adalah usaha pasukan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan staf teknikal. Ini bukan usaha satu orang, tetapi usaha semua dan kami melakukannya bersama-sama.”
Kemenangan itu juga menyaksikan Sri Pahang kembali ke pentas akhir Piala Malaysia selepas lebih 10 tahun di mana kali terakhir mereka berjaya melakukannya adalah pada tahun 2014 di mana ketika itu mereka berjaya menjuarainya.
Apa yang lebih manis buat Kpah adalah beliau berjaya menjaringkan gol kemenangan pada hari ulang tahun kelahirannya.
“Sebelum gol, saya agak kurang bernasib baik, dua kali. Tetapi saya terus berusaha. Saya tidak boleh berhenti kerana saya mempunyai fokus. Saya perlu menjaringkan gol untuk pasukan ini.
Saya katakan, saya akan memberikan hadiah hari jadi kepada diri saya sendiri. Saya akan memberikan sesuatu yang baik kepada rakyat Pahang hari ini.”
Sementara itu, perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadual akan berlangsung pada bulan April nanti akan menyaksikan Sri Pahang bertemu dengan pasukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang Mudah menempah tiket ke perlawanan akhir selepas menang besar 6-1 ke atas Terengganu FC.