Melaka bakal kembali meriahkan saingan Liga Super musim hadapan?

81

Pasukan Melaka FC telah mengesahkan kejuaraan liga semi-profesional Liga A1 (Liga M3) selepas mencatat keputusan seri menentang juara bertahan, Imigresen FC, baru-baru ini. 

Walaupun saingan liga masih berbaki beberapa perlawanan, kejuaraan ini membuka peluang besar untuk Melaka kembali beraksi dalam saingan Liga Super pada musim 2025/26.


Peluang kembali ke Liga Super

Kejayaan Melaka FC dalam Liga A1 ini memberikan harapan baru buat peminat bola sepak di Melaka. 

Walaupun mereka tidak akan mewarisi penghormatan dan gelaran yang dimenangi oleh Melaka United, mereka berpotensi mengisi slot yang ditinggalkan oleh Melaka United selepas kelab itu tersingkir daripada Liga Super Malaysia 2022. 

Melaka United gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022.

Cabaran kewangan dan kriteria Lesen Kebangsaan

Namun, persoalan besar timbul: adakah Melaka mampu bersaing di Liga Super sekiranya diberikan peluang tersebut? Salah satu cabaran utama adalah dari segi kewangan. 

Bersaing di Liga Super memerlukan bajet yang besar, dan ini mungkin menjadi halangan utama bagi Melaka.

Pada musim lalu, Imigresen FC, yang juga juara Liga A1, memilih untuk tidak memohon lesen bagi bersaing di Liga Super dan kekal bermain di Liga A1. 

Faktor kewangan menjadi antara sebab utama keputusan tersebut jadi tidak mustahil Melaka juga akan mengambil pendirian yang sama sekiranya mereka tidak mampu memenuhi kriteria untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Harapan dengan pengenalan semula Liga Perdana

Satu lagi alternatif yang mungkin dipertimbangkan oleh Melaka adalah untuk bermain di liga profesional divisyen kedua, iaitu Liga Perdana, sekiranya liga tersebut diperkenalkan semula oleh Malaysian Football League (MFL). 

Pada tahun 2022, MFL telah memansuhkan Liga Perdana buat sementara waktu, tetapi baru-baru ini terdapat khabar angin yang mengatakan liga tersebut mungkin akan dihidupkan semula.

Pengenalan semula Liga Perdana dilihat sebagai langkah positif yang akan melengkapkan struktur Liga Malaysia. 

Ia juga akan memudahkan pasukan dari Liga A1 untuk beralih ke liga profesional tanpa ‘terkejut’ dengan keperluan bajet yang besar seperti di Liga Super.

Masa depan Melaka FC

Buat masa ini, masih belum ada butiran lanjut sama ada Liga Perdana akan diperkenalkan semula atau tidak, atau sama ada Melaka akan mengambil keputusan untuk naik ke liga atas. 

Namun, kejayaan mereka dalam Liga A1 ini pastinya memberikan harapan baru buat peminat bola sepak di Melaka.

Sama ada Melaka akan kembali ke Liga Super atau memilih untuk bermain di Liga Perdana, yang pasti, kehadiran mereka akan memberikan nafas baru kepada saingan bola sepak profesional di Malaysia.