Pau Marti Vicente tak perlu ambil alih tugas Brad Maloney – Datuk Ong Kim Swee

1,971

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata tiada keperluan untuk Pau Marti Vicente mengambil alih jawatan ketua jurulatih skuad B-23 Malaysia, Brad Maloney.

Ura-ura mengenai bekas jurulatih skuad B-18 Barcelona itu akan mengambil alih tugas Maloney kuat bertiup apabila skuad negara tersingkir awal dari saingan Piala AFF B-23 di Kemboja semalam.


“Saya tak kata jurulatih (Pau Marti Vicente) tak bagus. Apabila disebut Barcelona kenapa tiba-tiba kita cakap ‘kenapa kita tak ambil beliau’.

Beliau belum pun sebulan di negara kita, tak tahu lagi apa-apa program pembangunan kita. Dia tidak tahu lagi apa itu NFDP dan adakah mereka faham dengan sistem bola sepak kita sekiranya kita mahu melantik jurulatih baru secara tiba-tiba untuk menggantikan Maloney?”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu lagi, mereka (jurulatih) perlu mengenali dunia bola sepak Malaysia terlebih dahulu.

Pihak FAM pula tidak perlu terburu-buru membuat keputusan drastik, sebaliknya Kim Swee berkata biar mereka (jurulatih) buktikan kemampuan mereka terlebih dahulu.

“Maloney telah pun membuktikan kemampuannya dahulu dengan layak secara merit tetapi kerana kegagalan di AFF tanpa pemain utama perlukah beliau dipecat?”

Pau Marti Vicente merupakan salah seorang daripada empat penolong jurulatih baru yang dibawa oleh ketua jurulatih Harimau Malaya baru Kim Pan-gon.

Semalam peminat bola sepak tanah air sekali lagi dikecewakan apabila apabila skuad negara tewas kedua-dua perlawanan menentang Laos sekaligus tersingkir awal dari saingan Piala AFF B-23.

Terdahulu, skuad kendalian Maloney pada awalnya diramal akan mudah ke separuh akhir selepas dua pasukan iaitu juara bertahan Indonesia dan Myanmar menarik diri gara-gara COVID-19.

Bagaimana aksi longlai yang dipamerkan oleh skuad negara menyaksikan mereka tumpas dalam kedua-dua perlawanan 1-2 dan 0-2.