Terengganu FC, KL City FC dalam misi wajib menang jika mahu ke separuh akhir ACC 2024/25

Kejohanan ASEAN Club Championship 2024/25 (ACC) atau dikenali sebagai Shopee Cup semakin hangat dengan dua wakil Malaysia iaitu Terengganu FC dan KL City FC, kini berada dalam misi kritikal untuk meraih kemenangan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini dan esok jika mahu mara ke peringkat separuh akhir.
Kumpulan A: Terengganu FC berdepan ujian berat di Thailand
Terengganu FC, yang berada di tangga kedua Kumpulan A dengan 7 mata, perlu mengatasi pendahulu kumpulan, BG Pathum United FC (Thailand), di stadium lawan pada malam ini.
Mereka wajib mendapatkan kemenangan kerana pasukan dari Timur Pantai itu berkongsi mata dengan PSM Makassar (Indonesia) di tangga ketiga kerana PSM dijangka tidak akan berdepan tugas mudah meraih tiga mata apabila berdepan pasukan di kedudukan keempat, Dong A Thanh Hoa (Vietnam).
Perbezaan satu mata antara BG Pathum (8 mata), Terengganu, dan PSM (masing-masing 7 mata) membuka ruang untuk ketiga-tiga pasukan ini bersaing merebut dua slot separuh akhir.
Namun, situasi menjadi rumit buat Terengganu ekoran ketiadaan dua tonggak utama, Ivan Mamut dan Alif Zakaria yang cedera, oleh itu ketua jurulatih Badrul Afzan Razali perlu merangka strategi ampuh untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.
Kumpulan B: KL City perlu tewaskan Buriram United di tempat lawan
Satu lagi wakil Malaysia, KL City FC, juga berada dalam situasi genting dalam Kumpulan B. Mereka perlu menewaskan Buriram United di tempat lawan untuk memastikan kelayakan ke separuh akhir.
Setakat ini, Cong An Hanoi telah mengesahkan tempat mereka di separuh akhir dengan 12 mata, menyebabkan hanya satu lagi slot yang masih terbuka.
Buriram United (7 mata), KL City (6 mata), dan Borneo FC (6 mata) masih bersaing untuk merebut tempat terakhir.
Keputusan seri tidak mencukupi bagi KL City kerana ia boleh menyebabkan mereka tersingkir jika Borneo berjaya mencatat kemenangan ke atas Cong An Hanoi.
Oleh itu, skuad The City Boys perlu memberikan aksi terbaik mereka untuk memastikan kemenangan di tempat lawan.
Pada masa sama, KL City juga perlu berharap Borneo tewas kepada Cong An Hanoi, sekali gus memastikan laluan mereka lebih mudah ke separuh akhir.
Dengan misi yang sukar tetapi tidak mustahil, penyokong bola sepak Malaysia pastinya berharap kedua-dua pasukan mampu bangkit dan melakar sejarah dalam kejohanan ini.
Segalanya akan ditentukan dalam 90 minit terakhir peringkat kumpulan!