Kebangkitan semula penyokong beri semangat luar biasa buat Melaka FC

Kejayaan Melaka FC menjuarai Liga A1 2024 bukan sekadar tentang kemenangan di padang, tetapi juga tentang kebangkitan semula semangat penyokong setia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka FC, Muhammad Najmi bin Muhammad Nordin gembira melihat peningkatan sokongan daripada peminat yang semakin bersemangat menyokong pasukan.
Najmi mengakui bahawa pada awal musim, jumlah penonton yang hadir ke stadium agak berkurangan, namun situasi itu berubah seiring dengan kejayaan pasukan meraih kemenangan demi kemenangan.
“Kami nampak perbezaan yang ketara. Pada awal musim, penonton agak kurang, tetapi apabila pasukan mula menunjukkan prestasi cemerlang, penyokong mula kembali memenuhi stadium,”
ujarnya kepada Harimau Malaya.
Beliau turut menyentuh tentang perlawanan menentang Imigresen FC, walaupun berakhir dengan keputusan seri, stadium dipenuhi oleh penyokong yang memberikan semangat luar biasa kepada pasukan.
“Malam itu, kami nampak betapa kuatnya sokongan penyokong. Mereka memberikan semangat yang tinggi kepada pemain, dan itu adalah sesuatu yang sangat positif.”
Oleh itu, beliau berharap baki dua perlawanan terakhir liga menentang Bunga Raya Damansara dan Machan FC, penyokong akan terus memberikan sokongan padu bagi memastikan momentum kemenangan dapat dikekalkan
Kebangkitan semula penyokong Melaka FC membuktikan bahawa semangat dan sokongan padu peminat adalah nadi kepada kejayaan pasukan.