Kolaborasi Peak KL, HUNDRED & KLFA: Inisiatif bawa anak muda kembali turun stadium

85

Dalam satu usaha untuk menarik minat generasi muda terhadap bola sepak tempatan, Peak KL telah melancarkan kolaborasi istimewa bersama KLFA (Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur) dan jenama Hundred. 

Kolaborasi ini bukan sekadar tentang reka bentuk jersi baharu, tetapi juga bertujuan untuk memeriahkan semangat bola sepak di kalangan anak muda dan memastikan stadium dipenuhi penyokong setia.


Reka bentuk jersI baharu ini mengambil inspirasi daripada jersI pasukan KL pada tahun 1954, menggabungkan elemen moden dengan sentuhan nostalgia. 

Warna-warna yang digunakan seperti biru, hijau, kuning, dan putih diambil daripada emblem KLFA, manakala corak pada jersi diilhamkan daripada peta Kuala Lumpur.

“Kami ingin menghormati sejarah KLFA yang akan menyambut Jubli Perak ke-50 pada tahun 2025. Reka bentuk ini bukan sekadar untuk dipakai, tetapi juga untuk menceritakan kisah di sebalik pasukan KL.

Kami mahu anak-anak muda mengenali dan menyokong pasukan tempatan. Stadium harus penuh setiap kali ada perlawanan, dan ini adalah salah satu cara untuk mencapainya,”

ujar CEO Peak KL, Amir Bakhtiar kepada Harimau Malaya.

Tambah Amir lagi, beliau berharap inisiatif ini dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama antara pasukan bola sepak dan syarikat tempatan bagi meningkatkan daya tarikan bola Sepak di mata masyarakat.

Dalam pada itu, Amir turut gembira dengan maklum balas positif daripada peminat terhadap reka bentuk jersi terbaru ini.

“Ramai yang beri maklum balas positif, kata rekaan jersi ini lawa. Ini adalah satu permulaan yang baik untuk menarik lebih ramai penyokong.”

Sementara itu, Amir juga berharap kolaborasi mereka dapat diteruskan pada masa akan datang sekaligus dapat membawa lebih banyak kejayaan untuk pasukan KL.

“Kami percaya, bola sepak tempatan mempunyai potensi besar. Apa yang diperlukan adalah sokongan padu daripada semua pihak.”