Bradley mahu buktikan punya kekuatan dalam gelanggang tinju

43

Bradley bertekad mahu membuktikan bahawa beliau mempunyai kekuatan dalam gelanggang tinju menjelang pertarungannya menentang Ali Murtaza pada 15 Februari ini pada kejohanan Twins Championship.

Menurut Bradley, beliau yang sedang dalam persiapan akhir berkata sudah bersedia untuk turun beraksi.


“Kunci latihan adalah konsisten. Saya beri 110% setiap hari, berlatih dengan lawan yang lebih besar dan berpengalaman.

Walaupun Tahun Baru Cina adalah masa untuk berehat tapi saya terpaksa mengawal diri daripada makan terlalu banyak kerana perlawanan ini. Saya pulang ke Ipoh dan berlatih di Headhunter Muay Thai Gym selama seminggu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, selain fokus pada pertarungan nanti Bradley turut mempunyai impian besar untuk sukan tinju di Malaysia antaranya mahu lebih ramai anak-anak muda menceburi sukan tinju.

“Saya mahu lebih ramai kanak-kanak berminat dengan tinju. Saya dulu seorang pemain e-sukan profesional yang menghabiskan 8-9 jam sehari bermain permainan video.

Tiba-tiba saya berhenti dan mula berlatih tinju. Sekarang, saya mahu memotivasi anak muda untuk mengejar impian mereka.”

Tambahnya lagi, beliau juga mahu membuktikan bahawa sukan tinju boleh dijadikan sebagai kerjaya yang berjaya di Malaysia.

Sementara itu, Bradley berkata kewujudan Twins Championship benar-benar membantu perkembangan sukan tinju di Malaysia di mana ia peluang kepada petinju untuk berkembang selain mendapat pengiktirafan.