Niena Azman bertanding dalam Kongres FAM kerana mahu memperkasa bola sepak wanita

177

Bahang Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal berlangsung pada 15 Februari ini semakin dirasai dan salah seorang calon yang akan bertanding adalah Nur Izwani Azman atau lebih dikenali sebagai Niena Azman.

Pada kongres kali ini, Niena Azman adalah calon Ahli Wanita FAM yang mana beliau mempunyai visI dan azam untuk membawa pembaharuan serta memperkasakan lagi bola sepak wanita di negara.


Niena bukan asing dalam dunia bola sepak tanah air kerana beliau merupakan bekas penjaga gol kebangsaan Malayan Tigress dan selepas bersara sebagai pemain beliau terjun ke bidang pengurusan dan kejurulatihan termasuk mengurus pasukan yang beraksi di KL Women’s League dan Liga Wanita Nasional (LWN).

“Sebagai pemain, kita ada tempoh matang. Saya memilih untuk beralih ke pengurusan kerana ini memperjuangkan kebajikan pemain dan memberi suara kepada pemain.

aya ingin menunjukkan bahawa bekas pemain seperti saya memahami keperluan sebenar pemain. Bukan sekadar teori, tetapi pengalaman langsung,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Niena, beliau mahu memastikan aspek futsal dan bola sepak wanita diberi perhatian seimbang termasuk menaik taraf liga bola sepak wanita supaya menjadi lebih profesional dan berdaya saing.

“Dulu, tiada platform jelas untuk pemain wanita tapi sekarang ada LWN dan KL Women’s League, tapi kita perlu tingkatkan kualiti liga ini sebagai batu loncatan ke peringkat antarabangsa.”

Dalam pada itu, Niena turut menekankan pentingnya kerjasama antara FAM, persatuan negeri dan pihak korporat.

“Kita perlu bijak menggunakan dana sedia ada dan mencari penaja yang komited untuk membiayai program pembangunan. Komunikasi dan kerjasama berpasukan adalah kunci.

Saya sedia belajar tapi juga ingin membawa idea segar sebagai generasi muda.”

Sementara itu, Niena optimis dengan masa dengan bola sepak wanita di Malaysia dan yakin boleh mencapai tahap seperti bola sepak lelaki Harimau Malaya jika diberi peluang, sokongan dan perancangan strategik.