Hasrat MAHF hantar pasukan bola baling ke kejohanan antarabangsa lebur dek permohonan dana ditolak MSN

62

Pasukan bola baling Malaysia sepatutnya akan bersaing dalam kejohanan Southeast Asia Indoor And Beach Handball Championship 2025 – Suphanburi Sports University, Thailand, tetapi sebaliknya berlaku apabila mereka terpaksa menarik diri di saat-saat akhir.

Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) menerusi satu kenyataan media memaklumkan berita sedih tersebut dengan memaklumkan bahawa mereka terpaksa menarik diri berikutan permohonan dana kepada Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditolak.


Menurut Presiden MAHF iaitu Datuk Pandak bin Hj Ahmad, permohonan mereka ditolak oleh MSN berikutan isu lama (Sukan Asia 2018) dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mana mereka masih mempunyai hutang tertunggak kira-kira RM133,000.

Pandak nyata kecewa dengan situasi tersebut dan memohon maaf kepada semua penggiat sukan bola baling berhubung perkara tersebut.

“Sebagaimana yang telah diketahui, pihak MAHF telah menjalankan beberapa siri kejohanan peringkat kebangsaan pada tahun 2023 hingga 2024 yang bertujuan untuk memastikan bakat-bakat pemain terutamanya pemain muda dapat terus berkembang dan seterusnya membentuk pasukan kebangsaan sebagaimana yang disasarkan MAHF dan dimahukan oleh semua penggiat bola baling di peringkat akar umbi.”

Tambahnya lagi, susulan kesuntukan masa pihaknya tidak dapat membuat ‘back-up’ plan di saat akhir sekaligus hasrat mereka untuk menghantar pasukan bertanding terpaksa dibatalkan.

Dalam pada itu, apa yang berlaku nyata sesuatu yang cukup mengecewakan kerana hanya kerana hutang ‘kecil’, pemain bola baling negara dinafikan dari bersaing di pentas antarabangsa.

Sukan bola baling merupakan antara sukan yang aktif di peringkat sekolah selain sukan bola sepak, tetapi tiada kesinambungan untuk ke peringkat lebih tinggi membuatkan ramai yang tidak berminat lagi untuk bermain.

Negara mempunyai banyak bakat dalam sukan bola baling tetapi memandangkan ia bukan sukan popular membuatkan mereka sering disisihkan.

Diharap pihak bertanggungjawab dapat memberi perhatian terhadap isu ini supaya ia tidak berulang.

Suka atau tidak sukan yang kurang popular merupakan sukan yang sering mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Jika sukan bola sepak yang belum menjadi kuasa besar bola sepak di Rantau Asia Tenggara boleh mendapat peruntukan dana berjumlah puluhan juta, mengapa sukan yang sudah terbukti mampu menyumbang pingat buat negara perlu ‘mengemis’ peruntukan.