Mahu liga lebih kompetitif, Singapore Premier League buka permohonan untuk pasukan baharu sertai musim 2025/26
Liga Perdana Singapura (SPL) pernah menjadi antara liga terbaik di rantau Asia Tenggara, terkenal dengan persaingan sengit dan kualiti permainan yang tinggi.
Masalah kewangan yang berterusan telah menjejaskan struktur liga, menyebabkan bilangan pasukan berkurangan dan saingan menjadi kurang kompetitif.
Untuk mengembalikan kehebatan SPL, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah mengumumkan bahawa mereka sedang mencari kelab baharu sama ada tempatan atau antarabangsa untuk menyertai liga mereka bagi musim 2025/26.
FAS berharap dengan penambahan pasukan baharu, ia dapat meningkatkan kualiti persaingan, menarik lebih banyak minat penyokong, dan menjadikan SPL sebagai liga yang lebih menarik dan dinamik.
Kelab-kelab yang berminat untuk menyertai SPL perlu mengemukakan “cadangan menyeluruh untuk penyertaan” melalui laman web FAS sebelum 14 Mac 2025.
Cadangan tersebut mesti merangkumi aspek-aspek penting seperti:
1. Struktur Pemilikan & Pengurusan: Kejelasan tentang pemilikan kelab dan kemampuan pengurusan untuk menjalankan operasi jangka panjang.
2. Kemudahan Latihan & Kestabilan Kewangan: Bukti kemudahan latihan yang memenuhi piawaian serta sumber kewangan yang kukuh.
3. Pembangunan Pasukan: Rancangan perekrutan pasukan lelaki, wanita, dan belia untuk memastikan pertumbuhan holistik.
4. Pengurusan Teknikal: Komitmen terhadap kejurulatihan profesional dan sistem sokongan teknikal.
5. Keterlibatan Komuniti: Strategi untuk melibatkan penyokong dan menyumbang kepada pembangunan sosial melalui bola sepak.
Berdasarkan “cadangan menyeluruh untuk penyertaan”, FAS akan menilai setiap permohonan berdasarkan keupayaan kewangan, sejarah kelab, infrastruktur, dan pematuhan terhadap peraturan pelesenan SPL & AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).
Sementara itu, SPL kini mempunyai sembilan pasukan yang terdiri daripada tujuh kelab Singapura, satu kelab Brunei dan satu kelab berafiliasi Jepun.
Selepas usaha untuk mengembangkan liga pada musim lalu gagal, FAS kini lebih bersedia untuk menyaring calon yang benar-benar berkelayakan.
Ini adalah peluang untuk kelab-kelab baharu mempamerkan kesungguhan mereka dalam membangunkan ekosistem bola sepak yang mampan.