Kolaborasi antara kelab bola sepak dan jenama ‘streetwear’ lokal: Langkah positif untuk pupuk kembali semangat liga tempatan

Bola sepak adalah sukan nombor satu di Malaysia, namun Liga Malaysia kini berdepan pelbagai cabaran, terutamanya masalah kewangan yang semakin parah pada musim 2024/25.
Walaupun begitu, di sebalik kemelut yang melanda, terdapat satu perkembangan positif yang menarik perhatian ramai ketika ini iaitu kolaborasi antara kelab-kelab bola sepak dan jenama ‘streetwear’ lokal.
Inisiatif ini, walaupun masih baru, telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat.
Kolaborasi ini bukan sahaja berjaya menarik minat generasi muda, malah secara tidak langsung memupuk semula kecintaan peminat terhadap liga domestik.
Beberapa kelab ternama seperti Selangor FC, Sabah FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), dan KL City FC telah mengambil langkah proaktif dengan menjalin kerjasama bersama jenama ‘streetwear’ lokal.
Kolaborasi ini bukan sekadar menghasilkan produk eksklusif, malah menjadi platform untuk menyatukan peminat dan budaya popular.
Selangor FC x SVG
Kolaborasi antara Selangor FC dan jenama SVG adalah antara yang paling popular. Produk-produk hasil kerjasama ini sering kali habis dijual dalam masa singkat walaupun harganya agak tinggi.
Barangan edisi terhad ini juga menjadi rebutan di pasaran ‘reseller’, dengan harga jualan semula yang jauh lebih tinggi daripada harga asal.
Sabah FC x Pestle & Mortar Clothing (PMC)
Sabah FC pula bekerjasama dengan jenama Pestle & Mortar Clothing (PMC) untuk menghasilkan koleksi ‘streetwear’ yang unik.
Kolaborasi ini bukan sahaja mempromosikan identiti kelab, malah turut memperkukuh hubungan antara kelab dan peminat di Sabah.
JDT x Crossover
Juara bertahan Liga Super, JDT, tidak ketinggalan dengan menjalin kerjasama bersama jenama Crossover. Mereka telah melancarkan t-shirt edisi terhad yang mendapat sambutan hangat daripada penyokong setia.
KL City FC x Peak KL
Terbaru, KL City FC menjadi sebutan ramai selepas berkolaborasi dengan jenama Peak KL.
Koleksi eksklusif mereka bukan sahaja mendapat pujian dek rekaan yang menarik, malah peminat sanggup beratur panjang untuk mendapatkan barangan tersebut.
Kolaborasi antara kelab bola sepak dan jenama ‘streetwear’ lokal adalah langkah yang bijak dan relevan dengan trend semasa.
Ia bukan sahaja membantu kelab dari segi kewangan, malah membawa nafas baharu kepada industri bola sepak tempatan.
Jelas sekali, langkah ini bukan sahaja positif tetapi juga membuka jalan kepada lebih banyak kolaborasi kreatif pada masa hadapan, yang akhirnya dapat memperkukuhkan lagi bola sepak tempatan serta industri fesyen ‘streetwear’ di Malaysia.