JDT selangkah lagi cipta sejarah baharu ke Pusingan 16 ACL Elite!

1,149

Pasukan gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), bakal mencipta sejarah baharu dalam bola sepak Asia apabila mereka akan berdepan perlawanan penentu menentang Central Coast Mariners (CCM) dari Australia pada petang ini dalam saingan AFC Champions League Elite (ACL Elite). 

Kemenangan dalam perlawanan ini akan melonjakkan Harimau Selatan ke pusingan 16 dengan lebih awal, sekaligus membuktikan dominasi mereka di pentas kontinental.


Setakat ini, JDT berada di kedudukan ke-6 Liga Zon Timur dengan 8 mata, berkongsi mata dengan Shanghai Port (China) dan Buriram United (Thailand). Namun, JDT mempunyai kelebihan jaringan gol yang boleh menjadi faktor penentu jika berlaku persaingan sengit di peringkat akhir.

Dalam format ACL Elite, 12 pasukan dari Zon Barat dan 12 pasukan dari Zon Timur bersaing untuk merebut 8 slot terbaik setiap zon ke pusingan 16. 

Dengan dua perlawanan berbaki, JDT berpeluang besar melonjak ke kedudukan lebih tinggi jika berjaya meraih kemenangan ke atas CCM.

Pasukan kendalian Hector Bidoglio ini akan bertandang ke Australia untuk berdepan CCM, yang sudah tersingkir dari saingan ACLE setelah berada di tangga tercorot Zon Timur. 

Biarpun bermain di tempat lawan, JDT dilihat mempunyai peluang yang cukup cerah untuk meraih kemenangan.

Jika berjaya meraih 3 mata penuh, JDT akan mengumpul 11 mata dan hampir pasti melangkah ke pusingan 16.

Selepas berdepan CCM, JDT akan menghadapi cabaran lebih besar pada 18 Februari nanti menentang Pohang Steelers dari Korea Selatan.

Disebalik tugas mencabar menanti, JDT mempunyai kelebihan kerana mereka akan bermain di tempat sendiri di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang mana semua sedia maklum mereka cukup kebal di kubu sendiri.

Sementara itu, seluruh peminat bola sepak tanah air akan memberi sokongan padu buat JDT kerana mereka bukan sekadar mewakili Johor, tetapi Malaysia di pentas Asia.