Biarpun di ambang penyingkiran, penyokong tetap berdiri teguh di belakang Persis Solo

564

Bola sepak bukan sekadar sukan, ia adalah budaya yang menghubungkan pemain dan penyokong. 

Dalam dunia bola sepak, penyokong memainkan peranan penting dalam memberi semangat dan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka kerana tanpa penyokong, sukan ini akan kehilangan semangat dan jiwa. 


Begitu juga dengan kelab Liga 1 Indonesia, Persis Solo, yang ketika ini sedang berjuang untuk keluar dari zon penyingkiran, tetapi masih mampu menarik ribuan penyokong setia ke stadium bagi memberi sokongan padu.

Sokongan padu daripada penyokongnya menjadi ‘nadi’ yang menghidupkan harapan pasukan untuk terus berjuang bertahan di liga tertinggi.

Ketika ini Persis Solo kini menduduki tangga ke-16 Liga 1 Indonesia, berada di zon penyingkiran dengan risiko tersingkir ke Liga 2 jika prestasi tidak berubah. 

Namun, keadaan sukar ini tidak melunturkan semangat penyokong setia mereka di mana setiap perlawanan ‘home’, Stadium Manahan dipenuhi puluhan ribu penyokong yang menjadi bukti kesetiaan yang jarang ditemui di liga lain.

Untuk mengubah nasib pasukan, pengurusan Persis Solo mengambil langkah berani dengan melantik Datuk Ong Kim Swee, bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia dan Sabah FC. 

Kim Swee merupakan seorang jurulatih yang cukup berpengalaman baik saingan domestik atau pun antarabangsa dan beliau antara figura penting dalam revolusi bola sepak Sabah di mana beliau berjaya membawa skuad The Rhinos ke pentas Asia di kejohanan Piala AFC musim lalu.

Persis Solo turut membawa masuk bekas ketua jurulatih pasukan B-23 Malaysia iaitu Juan Torres Garrido sekaligus membentuk duo strategik yang membawa perubahan dalam pasukan.

@persisofficial

Tetaplah berada di sisi kami, teriakan lantang jadi tambahan amunisi tuk terus berjuang gapai segala mimpi. 🤝 𝑺𝒂𝒎𝒃𝒆𝒓𝒏𝒚𝒂𝒘𝒂 𝒕𝒂𝒌 𝒔𝒆𝒏𝒅𝒊𝒓𝒊. ✊🔴 #LaskarSambernyawa

♬ original sound – Persis Solo – Persis Solo

Sejak kedatangan mereka, Persis Solo menunjukkan peningkatan signifikan dengan lima perlawanan terakhir mereka berjaya mencatatkan dua kemenangan, dua kekalahan dan satu seri.

Kejutan terbesar berlaku baru-baru ini apabila mereka berjaya menewaskan pasukan yang berada di kedudukan ke-4 liga iaitu Persebaya dengan keputusan 2-1 di hadapan penyokong sendiri.

Tidak dapat dinafikan, Indonesia mempunyai penyokong yang cukup fanatik baik dari sudut positif dan juga dari sudut negatif, namun kesetiaan penyokong mereka patut dijadikan teladan untuk pasukan di negara jiran, termasuk Malaysia yang sering melihat jumlah penyokong stadium merosot ketika pasukan gagal.

Kisah Persis Solo mengajar kita bahawa penyokong sejati tidak hanya hadir di saat gemilang, tetapi juga di saat sukar. 

Mereka adalah tulang belakang pasukan kerana tanpa semangat dan suara penyokong, bola sepak hanyalah permainan 90 minit tanpa jiwa.