Kemelut kewangan KDA FC: Jangan biar ‘King of Utara’ jadi kenangan!

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merupakan salah sebuah kelab bola sepak tertua di Malaysia yang telah menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun lalu, tetapi kini berada di persimpangan kritikal.
Kemelut kewangan yang melanda pasukan ini semakin parah, tanpa sebarang penyelesaian konkrit meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh pemilik majoriti, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Keadaan ini bukan sahaja mengancam kelangsungan kelab, tetapi juga meruntuhkan reputasi pasukan yang pernah digelar ‘King of Utara’ dalam saingan Liga Malaysia.
Beban kewangan yang dihadapi oleh KDA ini telah menyebabkan ketua jurulatih dan beberapa pemain mengambil keputusan untuk ‘angkat kaki’ dek masalah kewangan yang dilihat seperti tiada jalan penyelesaiaan.
Tidak hanya pasukan sahaja yang terjejas, situasi ini turut mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penyokong setia Hijau Kuning.
Dalam pada itu, sejak Daud Bakar mengambil alih pasukan pada tahun 2021, beliau telah berhempas-pulas mencar panaja dan pelabur baharu, malangnya sehingga kini tiada pihak yang tampil untuk menyuntik dana yang memberi impak besar.
Masalah ini diperburukan lagi dengan keadaan ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya pasca-pandemik.
Sehingga kini, belum ada pihak yang tampil untuk memberi bantuan kepada kelab termasuk kerajaan negeri yang diterajui oleh Menteri Besar, atuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sanusi bukan asing dalam dunia bola sepak kerana beliau merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) dan merupakan peminat tegar bola sepak serta aktif bermain bola sepak.
Namun kehadiran beliau dan beberapa bekas pemain Kedah dalam kerajaan negeri seolah-olah tidak diterjemahkan ke dalam tindakan praktikal untuk menyelamatkan pasukan.
Campur tangan kerajaan negeri tidak bermaksud mahu menggunakan kantung kerajaan negeri untuk bantu pasukan, sebaliknya mereka boleh menggunakan pengaruh untuk bantu pasukan mencari penaja.
KDA FC bukan sekadar kelab bola tapi ia adalah warisan rakyat Kedah dan Malaysia dan jika pasukan ini rebah, saingan Liga Malaysia akan hilang seri.
Diharap ada pihak-pihak akan tampil untuk bantu pasukan bagi memastikan KDA akan terus bersaing di liga pada musim hadapan.
Jangan biar ‘King of Utara’ jadi kenangan!