Malaysia berpotensi tambah slot ke ACL Elite

Kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Central Coast Mariners (CCM) dalam AFC Champions League Elite (ACL Elite) semalam bukan sekadar membuka pintu ke pusingan 16 untuk Harimau Selatan, tetapi juga membawa berita gembira buat seluruh bola sepak Malaysia.
Prestasi cemerlang JDT ini telah melonjakkan kedudukan Malaysia dalam AFC Club Competitions Ranking 2025, sekaligus memberi peluang negara untuk menambah slot ke ACL Elite pada musim hadapan.
Susulan kemenangan JDT ke atas CCM, Malaysia berjaya memintas Australia dan Vietnam dalam ranking kelab AFC, dengan mengumpul 35.861 mata.
Kedudukan ini meletakkan Malaysia di tangga ke-12 di Asia, hanya perbezaan 0.044 mata sahaja berbanding Jordan di tempat ke-11 (35.905 mata).
Perbezaan tipis ini membuka ruang cerah untuk Malaysia mengejar dan merebut slot tambahan ke ACL Elite 2025/26 jika JDT terus konsisten.
AFC memperuntukkan slot ke ACL Elite berdasarkan prestasi kelab-kelab dari setiap negara dalam kejohanan kontinental selama empat tahun sebelumnya dengan semakin tinggi ranking negara, semakin banyak slot yang diperoleh.
Kini, Malaysia hanya mempunyai 1 slot langsung ke ACL Elite (dimiliki JDT sebagai juara Liga Malaysia) dan 1 slot ke AFC Champions League Two (ACL 2).
Jika Malaysia berjaya mengatasi Jordan, ia bermakna lebih banyak kelab Malaysia berpeluang untuk bersaing di pentasi Asia, sekaligus dapat meningkatkan pendedahan dan kualiti bola sepak tempatan.
Musim ini dua wakil Malaysia beraksi di pentas Asia iaitu JDT di ACL Elite dan Selangor FC di ACL 2 (AFC Champions League Two), namun kini tinggal wakil tunggal JDT untuk memikul tanggungjawab besar.
Biarpun masih berbaki satu perlawanan peringkat liga, JDT boleh dikatakan sudah pun mengesahkan tempat mereka ke pusingan 16 selepas mengumpul 11 mata dalam tujuh perlawanan.
Kejayaan mereka bukan sahaja membanggakan, tetapi juga kritikal untuk menambah mata ranking Malaysia.
Setiap kemenangan atau seri dalam peringkat kalah mati akan menambah nilai ke dalam pungutan mata negara.
Tambahan slot di pentas tertinggi Asia secara tidak langsung akan memberi impak positif kepada Liga Malaysia antaranya lebih banyak kelab dapat menimba pengalaman bertaraf Asia.
Selain itu, ia juga dapat menarik pelabur untuk melabur dan menaja liga yang mempunyai konsisten bermain di pentas tertinggi Asia.
Slot tambahan ke ACL Elite bukan sekadar impian, tetapi matlamat yang boleh dicapai jika semua pihak berganding bahu.