‘Kick-Off Perpaduan’ kutip RM14,000 untuk tabung pembangunan Gaza

54

Satu perlawanan bola sepak tiga penjuru telah diadakan pada 12 Februari 2025, bertujuan untuk mengutip dana bagi mangsa penindasan di Gaza, Palestin.

Acara tersebut yang dinamakan ‘Kick-Off Perpaduan’ telah berlangsung secara tiga penjuru antara pasukan Akal Neraca Football Club (ANFC), Kelab PETRA dan Gabungan Ahli Parlimen di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.


Pengasas ANFC, YB Akmal Nasir berkata, ia diadakan bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Dana Pembangunan Wakaf Gaza, sambil menggalakkan gaya hidup yang sihat melalui sukan

Menurutnya, acara tersebut telah berjaya mengutip sekitar RM14,000 hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Kita ambil peluang sempena pertandingan malam ini untuk mengadakan kutipan amal yang akan disumbangkan kepada tabung Wakaf Pembangunan Gaza.

Ini selari dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru-baru ini,”

kata Akmal.

Tambahnya, sukan merupakan satu bentuk perpaduan dan ia telah membuktikan apabila semua pihak tidak kira kecenderungan politik hadir memeriahkan ‘Kick-Off Perpaduan’.

ANFC merupakan sebuah kelab baharu dalam arena bola sepak tempatan yang diasaskan oleh Akmal yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada tahun lalu.

Beliau melihat pelbagai peluang dan ruang untuk dikecapi pada masa depan melalui acara seperti itu.

Di peringkat ANFC sendiri, beliau merasakan ia mampu terus dijadikan medium ukhuwah antara masyarakat.