Presiden FAM baharu akan tetapkan KPI kepada semua EXCO FAM baharu

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub memberitahu bagi memastikan FAM terus berada di landasan tepat, beliau akan menggariskan kepentingan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang baharu.
“KPI akan sentiasa dipantau dan diperhalusi. Matlamat kita adalah untuk mencapai standard tertinggi dalam semua aspek, dari pembangunan pemain hingga ke pengurusan liga,”
katanya pada sidang media selepas tamat Kongres FAM ke-61.
Dalam pemilihan EXCO FAM Bagi Penggal 2025-2029 pada Kongres FAM ke-61, Joehari berjaya menang tanpa bertanding untuk jawatan sebagai Presiden.
Joehari mengakui tugas sukar menanti beliau selepas mengambil alih kempimpinan daripada Tan Sri Dato’ Seri Hamidin Mohd Amin, tapi beliau bertekad untuk memastikan kesinambungan Serta penambahbaikan dalam struktur FAM.
“Saya mengambil alih tugas ini daripada seorang presiden yang mempunyai pencapaian amat tinggi. Saya dua Timbalan saya dan barisan EXCO akan memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang ke tahap yang lebih baik.”
Beliau pada masa sama turut menekankan kepentingan kestabilan dalam kepimpinan, di mana pelan pembangunan yang telah dirancang sebeluym ini akan dikaji semula bagi memastikan keberkesanan.
“Program F:30 adalah sesuatu yang telah dilakukan dan kita tidak boleh mengetepikannya begitu sahaja. Namun, kita juga perlu melihat kepada perspektif baharu dan menyesuaikan program mengikut keperluan semasa.”
Beliau turut akan memperkasakan setiap unit dalam organisasi bagi memastikan bola sepak Malaysia lebih berdaya saing.
Sementara itu, selain fokus pada pasukan bola sepak lelaki sahaja Joehari berkata bola sepak wanita akan terus menjadi fokus utama FAM.
“Bola sepak wanita bukan sekadar tuntutan FIFA, tetapi ia penting untuk pembangunan sukan secara inklusif. Kita akan teruskan program-program sedia ada dan memperkenalkan inisiatif baharu untuk memacu prestasi pasukan wanita.”
Joehari juga berkata pihak FAM akan bekerjasama dengan Malaysian Football League (MFL) untuk memperbaiki situasi semasa liga.