Zainal Abidin Hassan mahu perkasa pembangunan pemain tempatan

201

Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, mencipta sejarah terbaharu dengan terpilih sebagai salah seorang ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah meraih 18 undi dalam pemilihan pada Kongres FAM ke-61 hari ini. 

Pelantikan ini menandakan babak baharu dalam sumbangannya kepada bola sepak Malaysia, selepas berkhidmat sebagai pemain, jurulatih, dan pengurus.


“Alhamdulillah, saya amat terkejut dan bersyukur. Kepercayaan ini membuktikan harapan tinggi yang diletakkan pada saya. Saya sedia menjalankan tugas untuk memajukan bola sepak negara,” 

ujarnya.

Menurut Zainal, sebagai EXCO yang baharu beliau ingin menyumbang dalam aspek teknikal dan pembangunan pemain muda tempatan.

“FAM memerlukan input praktikal dari mereka yang pernah berada di padang. Saya dan Dollah (Dollah Salleh) akan fokus pada pengukuhan akademi, liga belia, dan sistem sokongan untuk pemain tempatan.” 

Zainal pada masa sama berkata sistem pembangunan sedia ada yang dinilainya tidak menyeluruh. 

“Kita perlu lahirkan lebih banyak bakat seperti era 80-an dan 90-an. Liga tempatan mesti diperkukuh, akademi belia perlu diperkasakan, dan pemain warga emas harus diberi ruang untuk membimbing generasi muda.”

Dalam pada itu, Zainal berkata beliau dan Dollah Salleh yang terpilih sebagai Naib Presiden, telah merangka strategi jangka panjang. 

“Kami ada pelan untuk meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan dan liga tempatan. Namun, kami perlu berbincang dengan Exco FAM terlebih dahulu sebelum mengumumkannya.”

Tambahnya lagi, kolaborasi ini adalah visi mereka bersama sejak era bermain bersama pasukan kebangsaan Harimau Malaya di mana kali ini peluang terbaik untuk mereka ‘memberi balik’ kepada bola sepak Malaysia.