Hamidin lepas jawatan kerana mahu beri peluang kepada generasi baru memacu transformasi bola sepak negara

Setelah memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 2018, Tan Sri Hamidin Mohd Amin secara rasmi telah melepaskan jawatanya sebagai Presiden FAM selepas tidak bertanding dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif pada Kongres FAM ke-61 hari ini.
Jawatan nombor satu badan induk bola sepak negara kini disandang oleh Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dan Hamidin menyokong penuh kepada kepimpinan baharu sambil menekankan kepentingan memberi peluang kepada generasi muda untuk memacu transformasi bola sepak negara.
“Saya dah buat keputusan ini sudah lama. Ini bukan keputusan tergesa-gesa. Saya rasa sudah tiba masanya untuk orang baharu membawa idea segar. Saya yakin FAM akan terus maju di bawah pimpinan Datuk Johari Ayub.
Bola sepak Malaysia bukan milik sesiapa. Ia milik rakyat. Saya berjiwa besar untuk undur dan memberi ruang kepada kepimpinan baharu,”
katanya.
Dalam pada itu, Hamidin berbangga dengan beberapa kejayaan yang dikecapi sepanjang tempoh kepimpinannya, termasuk kelayakan Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 setelah 42 tahun, perkembangan bola sepak wanita, serta pengukuhan liga tempatan.
Beliau bagaimanapun berkata masih banyak perkara perlu diperbaiki.
“Kejayaan FAM bukan hanya diukur melalui pasukan kebangsaan. Pembangunan akar umbi, akademi belia, dan pentadbiran yang telus juga penting. Saya berharap kepimpinan baharu akan meneruskan agenda ini.”
Sementara itu, biarpun Hamidin tidak lagi bersama FAM tapi beliau masih lagi aktif dalam dunia bola sepak di peringkat antarabangsa sebagai Ahli Majlis FIFA dan AFC sehingga 2027.