Ini peluang untuk saya beri impak kepada masa depan bola sepak wanita – Dr. Maisarah

89

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Wanita baharu, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah menyuarakan komitmennya untuk memacu transformasi bola sepak wanita negara selepas terpilih memegang jawatan tersebut.

“Ini pengalaman istimewa. Saya sedar tanggungjawab ini besar, tetapi ia satu peluang untuk memberi impak langsung kepada masa depan bola sepak wanita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Dr. Maisarah, langkah pertama yang beliau ingin lakukan nanti adalah untuk membentuk jawatankuasa khusus dan mengenal pasti bidang kritikal yang memerlukan intervensi.


“Kita perlu cari formula tepat untuk memudahkan kelab atau persatuan negeri melahirkan pasukan wanita yang kompetitif. Ini bukan soal mengkritik usaha terdahulu, tetapi memperkukuh sistem sedia ada dengan integriti dan dedikasi lebih tinggi.

Saya sudah mula berbincang dengan persatuan negeri semasa kempen. Minat mereka terhadap pembangunan bola sepak wanita sangat memberangsangkan.”

Dalam pada itu, Dr. Maisarah juga optimis akan membawa penambahbaikan dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN).

Beliau pada masa sama turut menekankan kepentingan dalam menetapkan sasaran yang realistik iaitu cita-cita seiring dengan kemampuan.

“Cita-cita kami tinggi, tapi ia perlu seiring dengan kemampuan dan sumber sedia ada. Antaranya, memperluas akses pemain wanita ke platform berkualiti, memantau pembangunan belia, dan memastikan liga tempatan menjadi batu loncatan ke peringkat antarabangsa.”

Sementara itu, Dr. Maisarah juga mahu tingkatkan kesedaran masyarakat tentang bola sepak wanita di mana beliau mahu ia diiktiraf bukan sekadar sebagai ‘aktiviti sampingan’ tapi sebagai sukan berprestij yang melahirkan atlet bertaraf global.