Selepas kejayaan VPL musim pertama, Hardevthevar rancang lancar liga wanita musim
Saingan Vantra Premier League (VPL) musim pertama telah pun melabuhkan tirainya yang menyaksikan liga sosial itu berjaya mencuri perhatian komuniti bola sepak tempatan dengan konsep uniknya.
Presiden VPL, Hardevthevar mengakui perjalanan musim pertama VPL bukanlah mudah tetapi bersyukur kerana ia dapat berjalan dengan lancar sehingga ke penghujung musim.
“Ia memang penat, tapi menakjubkan. Sokongan daripada semua pihak—pasukan, pengurus, malah ibu bapa—membuatkan segalanya berbaloi.
Tahniah kepada pengurusan pasukan yang sentiasa menjaga keharmonian liga. Saya bangga dengan kerjasama semua pihak,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Hardevthevar biarpun liga sosial sering terpalit dengan tanggapan negatif, tetapi beliau menyatakan bahawa VPL membawa konsep segar untuk komuniti.
“Liga lain mungkin hebat, tetapi kami fokus pada kebahagiaan pemain. Apabila mereka gembira, mereka akan bermain dengan lebih baik, dan liga akan berkembang. Nasihat saya kepada pengurus liga lain: berikan kebahagiaan kepada pemain. Biarkan mereka menikmati permainan, dan anda akan lihat hasilnya.”
Dalam pada itu, Hardevthevar turut mengulas mengenai video tular aksi pergaduhan pemain liga sosial di mana beliau menegaskan bahawa perubahan ‘mindset’ penting untuk kemajuan bpla sepak negara.
“Kita perlu keluar dari ‘bubble’ lama di mana tackle keras atau pertengkaran dianggap biasa. Sikap pemain perlu berubah jika kita mahu berkembang. Liga mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan. Ini penting untuk pertumbuhan bukan sahaja di Johor, tetapi di seluruh Malaysia.”
Sementara itu, selepas kejayaan musim pertama Hardevthevar memberitahu untuk musim kedua nanti Hardevthevar berhasrat untuk melancarkan liga bola sepak wanita di Johor.
“Saya ingin projek ini bermula secepat mungkin. Pemain seperti Danielle telah membuka jalan, dan kami ingin beri lebih banyak peluang kepada wanita untuk terlibat.
Saya ingin inspirasi semua wanita di Johor untuk menyertai bola sepak. Bersama, kita boleh buat perubahan.”
Beliau berharap sokongan masyarakat akan membantu merealisasikan visi ini.