SNBJ vs SSI: Mana lebih ideal jadi venue aksi Harimau Malaya menentang Nepal?

Berita gembira buat penyokong bola sepak negara! Perlawanan pertama Harimau Malaya di peringkat Kumpulan F Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini akan berlangsung di tanah air.
Keputusan ini dibuat berikutan kegagalan Persatuan Bola Sepak Nepal (ANFA) menyediakan Stadium Dasharath di Kathmandu yang masih dalam proses pembaikan.
Kini, tumpuan beralih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memilih antara Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) atau Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai tuan rumah – satu keputusan yang mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong.
SNBJ: “Home of Harimau Malaya” dengan kapasiti dan lokasi strategik
Bagi segelintir penyokong, SNBJ di Kuala Lumpur adalah pilihan utama kerana identitinya sebagai “rumah” pasukan kebangsaan.
Stadium ikonik ini bukan sekadar simbolik, malah menawarkan kelebihan praktikal seperti lokasi strategik di tengah-tengah ibu kota.
Kedudukannya memudahkan penyokong dari utara hingga selatan negara untuk hadir tanpa perlu menempuh perjalanan jauh ke Johor.
Kapasiti SNBJ yang mencecah 80,000 tempat duduk juga menjadi faktor penentu. Jumlah ini dua kali ganda berbanding SSI yang hanya mampu memuatkan 40,000 penyokong.
Dalam perlawanan penting seumpama ini, kehadiran penyokong yang padu boleh menjadi “pemain ke-12” untuk membakar semangat Harimau Malaya sekaligus menekan pasukan lawan.
Sejarah membuktikan bahawa SNBJ sering mencipta atmosfera magis, seperti ketika Malaysia berjaya mengesahkan tempat ke Piala Asia 2023 secara merit.
SSI: Stadium moden dengan kemudahan terbaik
Namun, tidak kurang juga penyokong yang mahu FAM memilih SSI di Johor. Dijulang sebagai stadium terbaik di Asia Tenggara, SSI dilengkapi kemudahan bertaraf dunia dan rekod permukaan padang yang sempurna.
Bagi mereka, kelebihan ini mampu memastikan prestasi optimum pemain. Namun, isu kapasiti yang lebih kecil dan lokasinya di selatan negara mungkin menyukarkan penyokong dari luar Johor untuk hadir.
Statistik perlawanan antarabangsa menunjukkan bahawa kehadiran penyokong di stadium selain SNBJ cenderung rendah. Contohnya, perlawanan persahabatan antarabangsa di SSI dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) hanya disaksikan sekitar 20,000–30,000 penyokong.
Angka ini jauh berbeza dengan rekod SNBJ yang kerap dipenuhi hampir 70,000 penyokong untuk aksi besar.
Apa pun keputusan kini terletak kepada FAM yang akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak lama lagi.
Walaupun SSI unggul dari segi teknologi, FAM perlu menimbang faktor emosi penyokong, kepentingan geografi, dan momentum Harimau Malaya yang sedang meningkat.