Sukan kombat semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sukan kombat seperti MMA (Mixed Martial Arts), Muay Thai, dan kickboxing semakin mendapat perhatian di Malaysia.
Dahulu dianggap sebagai sukan niche, kini ia mula menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya generasi muda.
Peningkatan ini tidak lepas daripada kejayaan anak-anak tempatan yang berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa, khususnya melalui platform seperti ONE Championship.
Dengan bakat-bakat muda yang terus meletup, Malaysia berpotensi menjadi hab sukan kombat Asia Tenggara dalam dekad akan datang.
Salah satu faktor utama yang mendorong populariti sukan kombat adalah kemunculan atlet tempatan yang berjaya bersaing di peringkat antarabangsa, antaranya Johan ‘Jojo’ Ghazali – Remaja 17 tahun ini menjadi sensasi Muay Thai apabila mencipta rekod menang berturut-turut di ONE Championship.
Dikenali dengan kelajuan dan teknik pukulannya, Jojo berjaya menarik perhatian peminat global dan menjadi inspirasi kepada belia Malaysia.
Seorang lagi petarung negara, Rifdean Masdor yang terkenal dengan kejayaannya di ONE Fight Night membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet bertaraf dunia, dan terbaru Aliff Rakib yang membuat penampilan di ONE Championship baru-baru telah menjadi tumpuan selepas berjaya menewaskan lawan dengan keputusan ‘knockout’.
Kejayaan mereka bukan sahaja memartabatkan nama Malaysia, malah membuka mata masyarakat tentang potensi kerjaya dalam sukan kombat.
Dalam pada itu, populariti sukan kombat turut disumbang oleh daya tarikan media sosial di mana aksi-aksi dramatik dalam sukan kombat mudah viral di platform seperti TikTok dan Instagram.
Klip video knockout atau teknik hebat petarung Malaysia sering menjadi tumpuan, menarik minat penonton baharu.
Populariti sukan kombat turut menyaksikan masyarakat kini sudah mula menceburi diri dalam sukan ini bukan untuk bertarung semata-semata sebaliknya cara dinamik untuk kekal fit dan sebagai aktiviti riadah.
Sementara itu, dengan kombinasi bakat muda, peningkatan minat penonton, dan sokongan korporat, sukan kombat berpotensi menjadi salah satu sukan utama Malaysia.
Jika perkembangan ini diteruskan, tidak mustahil negara akan melahirkan juara dunia dalam tempoh 5–10 tahun akan datang.