Malaysia kekal miliki slot ACL Elite & ACL2 musim 2026/27

Kebimbangan peminat bola sepak Malaysia pada November lalu mengenai risiko kehilangan slot ke AFC Champions League Elite (ACL Elite) akhirnya terjawab dengan berita menggembirakan.
Berdasarkan AFC Club Competitions Ranking 2025 Zon Asia Timur terkini, Malaysia berjaya melonjak ke tangga kelima di Asia Timur dan ke-11 di peringkat Asia, sekaligus mengesahkan negara ini akan mengekalkan 1 slot ACL Elite dan 1 slot AFC Champions League Two (ACL2) untuk musim 2026/27.
Kejayaan ini disumbang oleh wakil negara Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terus menjadi kebangsaan negara di pentas antarabangsa.
Kedudukan Malaysia yang sebelumnya merudum ke tangga ketujuh di Asia Timur berjaya dipulihkan selepas JDT mencipta kejutan besar di peringkat kumpulan ACL Elite dengan menewaskan pasukan gergasi Korea Selatan, Pohang Steelers, 5-2 pada perlawanan terakhir.
Kemenangan ini bukan sekadar melonjakkan JDT ke pusingan 16 ACL Elite, malah menyumbang mata kepada ranking AFC Malaysia.
Hasilnya, Malaysia berjaya memintas Australia untuk menduduki tempat kelima di Zon Asia Timur dan ke-11 di peringkat Asia.
Dengan kedudukan terkini, Malaysia berpeluang mengekalkan slot ke dua kejohanan berprestij itu sekurang-kurangnya untuk dua musim akan datang.
Statistik AFC MA Ranking mendedahkan satu realiti pahit: majoriti mata ranking Malaysia disumbang oleh JDT sejak 2021.
Dominasi kelab Southern Tigers ini membuktikan kecekapan mereka sebagai pasukan paling konsisten di Asia Tenggara.
Namun, ketergantungan terhadap satu pasukan sahaja berisiko tinggi. Jika JDT gagal di peringkat kumpulan ACL Elite pada masa depan, ranking Malaysia boleh merudum semula.
Oleh itu, wakil negara yang beraksi di ACL 2 juga perlu memainkan peranan penting dengan mempamerkan prestasi terbaik supaya dapat turut sama membantu dalam mengutip mata kepada ranking AFC Malaysia.
Jika Malaysia mahu kekal sebagai kuasa bola sepak Asia Tenggara dan bersaing di peringkat global, semua pihak perlu berganding bahu. Pemain, kelab, penyokong, dan pengurusan perlu seiring dalam misi ini.