Malaysia sah akan bermain di SSI menentang Nepal pada 25 Mac ini

Skuad Harimau Malaya bakal membuka tirai kempen peringkat Kumpulan F dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dengan menentang Nepal pada 25 Mac ini.
Pada asalnya, perlawanan dijadualkan berlangsung di Nepal, namun disebabkan stadium di Kathmandu masih belum bersedia, Malaysia akan bermain di tempat sendiri.
Namun, pemilihan stadium untuk aksi ini menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa skuad negara tidak akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebaliknya akan menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor sebagai gelanggang rasmi.
Kini, segala spekulasi tersebut telah terjawab apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa perlawanan Malaysia menentang Nepal akan berlangsung di SSI.
Berdasarkan kemaskini jadual perlawanan yang dikeluarkan AFC, aksi pertama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan ini akan berlangsung di SSI pada pukul 10.00 malam.
Keputusan ini pastinya menarik perhatian peminat, terutama dengan perubahan lokasi yang memberikan kelebihan tersendiri kepada pasukan kebangsaan.
Dengan suasana dan fasiliti bertaraf dunia di SSI, diharapkan skuad Harimau Malaya dapat memanfaatkan kelebihan bermain di ‘home’ untuk mencipta kemenangan pertama dalam kempen kelayakan ini.