Pemergian Giorgio Rossi sebagai CEO MFL tak beri impak pada kelangsungan liga

Khabar angin mengenai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Giorgio Pompili Rossi, tidak lagi memegang jawatan tersebut akhirnya terjawab juga apabila beliau sah tidak lagi bersama MFL.
Perkara itu disahkan oleh MFL menerusi satu kenyataan rasmi ringkas di media sosial mereka.
Susulan itu, operasi sekretariat MFL akan diterajui oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.
Dalam kenyataan tersebut turut memberitahu bahawa kedua-dua pihak kini dalam proses perbincangan untuk tindakan selanjutnya.
Perkara itu tidak mengejutkan ramai kerana kerana sejak pelantikan Rossi pada September tahun lalu bagi menggantikan Datuk Stuart Ramalingam, tiada perubahan positif ketara yang dapat dilihat dalam liga tempatan.
Malah, kemelut yang melanda beberapa pasukan Liga Super seperti isu kewangan dan tunggakan gaji masih lagi belum menemui jalan penyelesaian.
Pada awal pelantikannya, Rossi mengakui bahawa masalah kewangan yang dihadapi oleh beberapa pasukan dalam Liga Malaysia memerlukan kajian terperinci sebelum tindakan terbaik boleh diambil tapi, sehingga kini, tiada perkembangan jelas mengenai langkah yang telah diusahakan untuk menangani isu tersebut.
Selain itu, difahamkan bahawa hubungan kerja antara CEO MFL dan kelab-kelab Liga Malaysia kurang mesra, yang akhirnya menyebabkan liga berjalan seperti biasa tanpa sebarang pembaharuan yang ketara.
Hal ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kepimpinan Rossi dalam membawa perubahan kepada Liga Malaysia, walaupun beliau berpengalaman sebagai delegasi LaLiga sebelum ini.
Persoalan yang timbul sekarang adalah siapakah individu yang layak untuk menerajui tampuk kepimpinan MFL selepas ini?
Adakah tokoh bola sepak tempatan yang lebih memahami selok-belok industri tempatan lebih sesuai untuk mengemudi MFL ke arah yang lebih baik?
Peminat bola sepak tempatan pastinya mengharapkan pemimpin baharu yang lebih kompeten dan proaktif dalam memastikan Liga Malaysia berkembang serta menangani isu-isu yang berlarutan.