Robert Friend calon terbaik untuk terajui MFL sebagai CEO?

Dunia bola sepak Malaysia dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Giorgio Pompili Rossi.
Meskipun berita ini menimbulkan kecoh, ramai peminat tidak terkejut kerana prestasi Rossi sering dikritik sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Datuk Stuart Ramalingam pada September 2024.
Sepanjang tempoh tersebut, tiada perubahan signifikan dilaksanakan, malah isu kewangan yang membelenggu kelab-kelab Liga Malaysia masih tidak terselesaikan.
Peminat dan pengkritik sering melabelkan pentadbiran Rossi sebagai “makan gaji buta” kerana kegagalannya menyelesaikan krisis kewangan liga atau memperkenalkan reformasi struktur.
Liga Malaysia terus berjalan tanpa arah jelas, sementara kelab masih bergelut dengan masalah dana.
Sikap pasif Rossi dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemegang taruh, sehingga membawa kepada keputusannya meletak jawatan.
MFL telah mengesahkan peletakan jawatan Rossi melalui kenyataan rasmi, menyatakan kedua-dua pihak sedang berbincang untuk “tindakan selanjutnya”.
Namun, persoalan besar kini ialah: Siapakah pengganti yang mampu membawa perubahan kepada Liga Malaysia?
Nama yang kini mencuri tumpuan ialah Robert Douglas Friend, atau lebih dikenali sebagai Rob Friend.
Meskipun beliau kini memegang jawatan sebagai CEO Harimau Malaya, kredibiliti beliau dalam pengurusan bola sepak antarabangsa menjadikannya calon terbaik untuk memimpin MFL.
Latar belakang Friend cukup mengagumkan kerana selepas bersara sebagai pemain pada 2014, beliau menceburi bidang pengurusan dengan menjadi pengasas bersama Canadian Premier League (CPL) pada 2017.
Di bawah kepimpinannya, nilai liga tersebut melonjak daripada sifar kepada AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Kejayaan ini tidak datang mudah kerana Friend turut memainkan peranan penting dalam membangunkan dua kelab CPL, Pacific FC dan Vancouver FC, dengan fokus kepada pembangunan infrastruktur, operasi strategik, dan peningkatan kualiti liga.
Kebolehan Friend dalam mengurus liga dan kelab secara serentak mungkin menjadi faktor utama yang menyokong pencalonannya.
Ramai berpendapat tiada konflik untuk beliau memegang dua jawatan sebagai CEO Harimau Malaya dan MFL, memandangkan kedua-dua portfolio saling berkait dalam ekosistem bola sepak negara.
Pengalaman beliau dalam membentuk liga dari awal juga dilihat sesuai untuk MFL yang memerlukan transformasi menyeluruh.
Trek rekod Friend dalam CPL membuktikan beliau mampu mencipta keajaiban. Liga Malaysia memerlukan pemimpin yang berani, inovatif, dan memahami selok-belok pengurusan bola sepak moden.
Walaupun Friend menjadi calon utama, MFL belum mengumumkan nama rasmi pengganti Rossi, dan perkara ini pastinya akan menyaksikan peminat akan memberi tekanan untuk melantik figura berwibawa seperti Friend.
Bagi peminat yang dahagakan perubahan, pelantikan Friend mungkin menjadi titik permulaan untuk menyelesaikan isu kewangan kelab, meningkatkan kualiti liga, dan mengembalikan kegemilangan bola sepak tanah air.
Namun, segala spekulasi ini perlu ditunggu keputusan rasmi MFL dalam minggu-minggu mendatang.
Krisis kepimpinan MFL ini adalah ujian besar bagi pihak pengurusan untuk membuktikan keseriusan mereka dalam memulihkan reputasi Liga Malaysia.
Pelantikan CEO baru bukan sekadar isu penggantian, tetapi langkah kritikal untuk menentukan hala tuju bola sepak negara.