KDA FC bakal dapat tajaan dari syarikat Amerika Selatan

5,830

Ada hikmah di sebalik musibah! Itulah perumpamaan yang tepat yang boleh diperkatakan mengenai situasi pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang bakal mendapat tajaan daripada sebuah syarikat antarabangsa.

Menurut pemilik saham terbesar KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, pihak syarikat tersebut bagaimanapun menetapkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) iaitu perlu mencapai sasaran 20,000 keahlian The Wing.


“Itu adalah satu KPI yang diletakkan oleh syarikat antarabangsa yang mana mereka mahu melihat sekurang-kurangnya 15,000 keahlian, jadi mereka ingin melihat data yang lengkap dan mereka akan cuba membantu secepat mungkin dan sebanyak mungkin kalau KDA FC dapat menunjukkan kita mempunyai 15,000 hingga 20,000 keahlian dalam masa terdekat ini.

Syarikat tersebut berpengkalan di Amerika Selatan dan turut mempunyai hubungan dengan Eropah,”

katanya.

Sejak keahlian The Wing dilancarkan pada awal bulan lalu ia telah menyaksikan sebanyak 10,000 peminat telah mendaftar keahlian.

Dalam pada itu, Daud Bakar turut mengakui bahawa pasukan ketika mengalami masalah tunggakan sebanyak 10 bulan dan pihak pengurusan kelab sedang bekerja keras untuk cuba menyelesaikan secara berperingkat.

Daud Bakar pada masa sama turut memuji semangat luar biasa yang dipamerkan oleh kesemua pemain yang terus berjuang mati-matian di atas padang biarpun berdepan masalah tunggakan gaji yang parah.

“Mereka tahu saya berseorangan dalam bola sepak Kedah dan mereka tahu nak cari siapa. Sayalah mungkin satu-satunya harapan mereka ada sebab itu kena ada ‘give and take’, kena ada kefahaman dan saya rasa semangat mereka itu luar biasa.

Mereka bukan daripada dunia ini, mereka daripada planet lain yang sanggup bermain habis-habisan, bermati-matian untuk menjulang nama Kedah, dan itu satu pengiktirafan saya kepada mereka.

Mereka mungkin tak puas hati dengan saya tapi bila mereka masuk ke padang, mereka lupa masalah mereka dan bermain sebaik mungkin.”

Oleh demikian, Daud Bakar berkata beliau akan berusaha untuk menyelesaikan masalah kewangan sebelum menghantar dokumen untuk urusan pelesenan kelab bagi musim 2026/27.