KDA FC rombak struktur gaji pemain musim depan demi kelangsungan kelab

555

Liga Malaysia kini berdepan cabaran besar dalam aspek kewangan, khususnya berkaitan pembayaran gaji pemain dan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) antara salah sebuah kelab yang berdepan krisis kewangan yang agak parah.

Sehingga kini, tunggakan gaji pasukan KDA FC sudah 10 bulan dan pihak pengurusan kini sedang bekerja keras untuk cuba melangsaikan tunggakan gaji tersebut.


Menurut pemilik saham terbesar Sang Kenari iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata pihaknya akan menetapkan satu tanda aras (benchmark) gaji yang lebih sesuai dengan keadaan ekonomi dan kapasiti pasukan pada musim hadapan.

“Saya melihat bahawa gaji akan diturunkan dengan secara yang drastik, sesuai dengan kemampuan pasukan masing-masing.

Kedah bukan sahaja pasukan yang ada masalah, banyak lagi pasukan yang kita tahu mempunyai masalah dan sebagainya. Jadi konsensus kolektif adalah untuk mencari satu ‘benchmark’, tanda aras gaji yang lebih sesuai dengan keadaan bola sepak di Malaysia,” 

katanya.

Daud Bakar berkata pihaknya perlu mencari keseimbangan dalam perkara itu kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana jika gaji dikurangkan secara terlampau drastik, mungkin akan berlaku penghijrahan besar-besaran pemain.

Oleh itu, beliau mahu mencari satu mekanisme yang adil dan telus perlu diwujudkan bagi memastikan kebajikan pemain tetap terjamin sambil menjaga kestabilan kewangan kelab.

Tambahnya lagi, keperluan untuk menyesuaikan struktur gaji menjadi semakin mendesak agar kelab dapat bertahan dalam jangka masa panjang tanpa dibebani oleh masalah kewangan.

Dalam pada itu, Daud Bakar juga berkata sudah tiba masanya untuk semua pihak dalam industri bola sepak negara melakukan ‘reality check’ kerana pendekatan lama yang bergantung sepenuhnya kepada tajaan besar dan dana kerajaan negeri tidak lagi relevan.

“Dulu, kelab banyak bergantung kepada tajaan syarikat besar, tetapi kini situasi sudah berubah. Kita perlu menyesuaikan diri dengan realiti semasa.”

Sementara itu, Daud Bakar turut menegaskan bahawa Sang Kenari komited yang mereka mahu terus kekal bersaing dalam saingan Liga Super pada musim hadapan sekaligus menafikan khabar angin yang mengatakan mereka akan menarik diri dari Liga Super untuk bermain di Liga Perdana pada musim hadapan.