Melaka FC belum tahu samada akan beraksi di Liga Super atau Liga Premier musim depan

Melaka FC telah mencipta sejarah tersendiri apabila mereka berjaya bergelar juara liga semi-profesional Liga A1 musim ini apabila berjaya mengumpul 71 mata hasil 22 kemenangan, lima seri dan hanya satu kekalahan.
Tidak hanya berjaya menjuarai liga, tetapi Melaka berjaya mendahului juara bertahan Imigresen FC yang berada di kedudukan kedua dengan kelebihan lapan mata.
Berjaya menjadi juara Liga A1 akan turut menyaksikan Melaka bakal kembali ke kancah liga profesional Liga Super pada musim hadapan.
Ketua jurulatihnya K Devan bagaimanapun berkata keputusan untuk sertai liga profesional masih dalam perbincangan.
“Ya memang selepas kita menang akan layak ke Liga Super tapi Presiden kita akan membuat keputusan sama ada kita akan pergi ke Liga Super atau Liga Premier,”
katanya.
K Devan berkata demikian berikutan terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa Malaysian Football League (MFL) bakal kembali memperkenalkan semula saingan Liga Premier pada musim hadapan selepas hampir tiga tahun dimansuhkan buat sementara.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai kejayaan pasukan menjadi juara Liga A1, Devan berkata ia adalah hasil komitmen pengurusan terutamanya Presiden kelab iaitu Dato’ Wira Nur Azmi serta fokus tinggi pemain.
“Dari awal musim hingga perlawanan akhir, pemain menunjukkan komitmen luar biasa. Kemenangan ini hasil kerja keras semua pihak.
Dato’ Wira Nur Azmi bukan sekadar pemimpin, tapi juga ‘bapa’ kepada pemain. Semua keperluan dijaga, jadi kami boleh fokus sepenuhnya di padang.”
Sementara itu, Devan berkata kejayaan Melaka musim ini adalah permulaan legasi pasukan muda yang berani memasang impian besar dan dengan sokongan pengurusan serta strategi tepat, mereka berpotensi untuk menjadi antara pasukan terbaik dalam negara.