Kakijersi lebar sayap jalin kolaborasi strategik dengan Ragbi Malaysia

175

Jenama sukan terkemuka tanah air Kakijersi terus melebarkan sayap mereka dalam dunia sukan tanah air apabila telah menjalin kolaborasi strategik dengan Ragbi Malaysia selama dua tahun iaitu dari 2025 hingga 2027.

Kolaborasi di antara Kakijersi Sdn Bhd dan Ragbi Malaysia tidak hanya sekadar menyediakan jersi ragbi berprestasi tinggi, tetapi juga sebagai pemangkin untuk memacu ekosistem ragbi negara ke tahap komersial yang lebih dinamik, sekaligus menyokong pembangunan atlet dari peringkat akar umbi hingga elit.


“Di Kakijersi, kami percaya bahawa pakaian sukan bukan sekadar kain – ia adalah alat untuk identiti, prestasi dan pertumbuhan mampan. 

Kerjasama ini adalah Langkah ke hadapan dalam mengangkat martabat ragbi di Malaysia, bukan sahaja di Padang tetapi juga dalam aspek komersial,”

kata Nik Mohd Iqbal, CEO Kakijersi.

Kakijersi akan membekalkan pakaian ragbi premium berteknologi ‘high-performance’ dengan memberi penekanan terhadap tiga teras utama iaitu teknologi dan keselesaan; pertumbuhan komersial dan sokongan holistik.

Dalam pada itu, kolaborasi antara kedua-dua pihak ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada transformasi komersial ragbi tempatan.

Dengan lebih sedekad kepakaran dalam rekaan pakaian sukan, Kakijersi bukan lagi asing dalam industri sukan di negara seperti bola sepak, badminton dan e-sukan dan terbaru ragbi memberi petanda bahawa sukan ini mempunyai potensi besar yang belum diterokai sepenuhnya.

Oleh itu, kolaborasi antara Kakijersi dan Ragbi Malaysia mencerminkan visi Bersama untuk mengangkat martabat sukan ini sebagai sebuah industri yang mampu dan menguntungkan.