MSP X MADFOX juara MSL Championship musim ke-4, bawa pulang RM15,000 dan hadiah tajaan Realme

47

Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) MSL Championship musim ke-4 secara rasminya telah melabuhkan tirainya semalam, menampilkan sebanyak 128 pasukan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia.

Pasukan MSP X MADFOX berjaya menjuarai kejohanan itu selepas menundukkan pasukan UPM X MV dalam aksi Grand Final di pusat beli-belah Datum, Jelatek.


Mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000.00, telefon pintar Realme 13+ 5G serta tajaan 3 bulan kos pengurusan pasukan dari Moonton Student Leader MY.

Mereka juga akan mendapat slot jemputan ke pusingan Play-ins bagi Malaysia Academy League (MAL) bagi musim ketiga!

Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan UITM X ONIC MALAY manakala pasukan UM X TEAM HEBAT berpuas hati di tempat keempat.

Bertemakan “Grade Up, Level Up!”, kejohanan ini berjaya mengumpulkan komuniti MLBB IPT tempatan dan menjadi platform terbaik pelajar mempamerkan bakat mereka dalam arena kompetitif permainan MOBA tersebut.

MSL Championship musim ini mendapat sokongan padu daripada Realme, sebuah jenama yang tidak asing lagi dalam dunia teknologi telefon pintar.

Sebagai penaja utama, Realme bertanggungjawab dari segi penyiaran, hadiah serta peralatan permainan bagi memastikan kejohanan berjalan lancar.

Kredit: Instagram @moontonstudentleadermy

Penglibatan gergasi teknologi itu secara langsung dapat memastikan kejohanan itu berlangsung dengan jayanya.

Selain menawarkan hadiah terkumpul bernilai RM70,000, para peserta turut berpeluang memenangi hadiah eksklusif seperti telefon pintar dan aksesori gaming canggih yang ditaja oleh Realme.