Qaseh Rania: Langkah besar ke Eropah bersama VfL Wolfsburg Women U-17

149

Bintang muda bola sepak wanita Malaysia, Qaseh Rania, kini bersedia untuk melakar sejarah baharu dalam kariernya selepas menerima tawaran menyertai skuad B-17 tahun VfL Wolfsburg Women di Jerman. 

Rania juga dilantik sebagai duta German Malaysia Institute (GMI) yang mana beliau meluahkan rasa bersyukur dan teruja.


“Saya sangat teruja dan gembira. Ini bukan peluang yang mudah untuk diperoleh, dan saya berharap dapat membuktikan kemampuan saya di sana. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada NBI dan JMI kerana memberi peluang ini. Doakan saya berjaya,”

katanya.

Biarpun teruja, Rania mengakui meninggalkan tanah air bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau yakin keputusan ini akan membuka lebih banyak pintu kejayaan dalam kariernya.

“Memang sedih untuk tinggalkan Malaysia, tetapi ini adalah untuk masa depan saya. Saya percaya dengan peluang di Wolfsburg, saya boleh mengembangkan lagi potensi saya dan suatu hari nanti kembali dengan kejayaan yang membanggakan.”

Dalam pada itu, Rania juga memberitahu bagi memastikan keberadaannya di sana berjalan dengan lancar, beliau telah mengikuti kelas Bahasa Jerman di bawah anjuran JMI bagi memudahkannya di sana nanti.

“Bahasa Jerman bukan mudah, tetapi kalau ada cikgu yang baik, belajar jadi seronok. Saya suka belajar bahasa ini kerana ia membantu saya untuk berkomunikasi dengan lebih baik di sana.”

Selain dari bahasa, Rania juga memberi tumpuan kepada latihan kecergasan, kekuatan fizikal, dan agility. 

Sebagai pemain yang sebelum ini beraksi di posisi penyerang, beliau kini sedang membiasakan diri sebagai pemain tengah, posisi yang akan dipegangnya di Wolfsburg.

Sementara itu, Rania yang mengakui bahawa peluang ke Eropah ini adalah satu dalam sejuta, beliau berjanji tidak akan mensia-siakan peluang keemasan ini.

Semoga beliau terus cemerlang dan menjadi kebanggaan Malaysia di persada antarabangsa!