MBI Selangor komited bantu Qaseh Rania ke VfL Wolfsburg

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor, Ahmad Azri Zainal Nor, menegaskan bahawa Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor terus komited dalam memastikan perjalanan Qaseh Rania ke VfL Wolfsburg Women U-17 dipermudahkan.
Menurut Ahmad Azri, MBI bukan sahaja memainkan peranan penting dalam bola sepak Selangor, malah turut membantu pembangunan bola sepak wanita di Malaysia melalui kerjasama dengan kelab gergasi Jerman itu.
Jelasnya lagi, MBI Selangor bukanlah pemain baru dalam pembangunan bola sepak tempatan, malah sudah lama menjadi penaja utama pasukan Selangor FC dan menyokong pelbagai kejohanan bola sepak peringkat akar umbi di negeri itu.
Kini, MBI dalam proses memuktamadkan perjanjian kerjasama dengan VfL Wolfsburg yang memberi tumpuan kepada dua aspek utama pembangunan kejurulatihan dan pembangunan bola sepak wanita.
“Wolfsburg adalah antara pasukan terbaik dalam Bundesliga wanita di Jerman. Dengan adanya kerjasama ini, kita berharap ia akan membuka lebih banyak peluang untuk bakat tempatan seperti Rania berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa,”
katanya.
MBI telah menyokong perjalanan Qaseh Rania sejak usia 12 tahun, dan kerjasama dengan Wolfsburg diharap dapat membantu bintang muda itu memperoleh kontrak profesional untuk beraksi dalam Bundesliga Wanita.
Malah dapat usaha memastikan peralihan Rania ke Wolfsburg berjalan lancar, MBI telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kewangan dan sokongan.
Antaranya adalah pembelajaran Bahasa Jerman melalui kerjasama dengan German Malaysia Institute (JMI) bagi memastikan tiada masalah komunikasi ketika di sana; persediaan teknikal & fizikal dengan menajanya mengikuti latihan kecergasan dan latihan kepantasan bersama jurulatih pecut negara di MSN dan bantuan logistik & keserasian hidup di Jerman, termasuk mencari ruang kerjasama lain bagi memastikan Rania mendapat tempat yang sesuai di Wolfsburg.
“Kita tidak mahu bakat seperti Rania disia-siakan. Ini bukan sekadar mengenai dia sahaja, tetapi bagaimana kita boleh menggunakan peluang ini untuk meningkatkan lagi bola sepak wanita di Malaysia.”
Dalam pada itu, Ahmad Azri turut mendedahkan bahawa sekiranya perjanjian dengan Wolfsburg dimuktamadkan selepas penghijrahan Rania, kerjasama tersebut dijangka bermula sekitar suku kedua tahun ini.
“Sebaik sahaja semua dokumen selesai, kita akan membawa jurulatih dari Wolfsburg ke Malaysia untuk mengadakan program latihan untuk jurulatih tempatan. Selain itu, kita juga akan meneliti bagaimana bola sepak wanita di Malaysia boleh berkembang dengan kepakaran daripada Wolfsburg.”
Selangor kini menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai Women’s Soccer League, dan dengan adanya kerjasama ini, MBI berharap ia dapat meningkatkan lagi taraf bola sepak wanita tempatan.
Sementara itu, Ahmad Azri berkata pihaknya berharap Rania bukan sahaja berjaya di Wolfsburg, tetapi juga menjadi duta untuk pembangunan bola sepak wanita di Malaysia.