Kerjasama Wolfsburg & GMI: Fokus pembangunan akademik dan bola sepak

Selain pembangunan bola sepak, Wolfsburg turut melihat aspek pendidikan sebagai komponen penting dalam perjalanan Qaseh Rania.
Kelab itu kini sedang menjalin kerjasama dengan German Malaysia Institute (GMI) untuk memastikan Rania mendapat akses kepada sistem pendidikan Jerman yang sesuai dengan perkembangannya.
“Kami bukan sahaja mahu membentuk Rania sebagai pemain bola sepak profesional, tetapi juga membantu dalam pendidikannya. Kerjasama dengan GMI akan membuka peluang bagi Rania untuk meneruskan pembelajarannya sambil menjalani latihan di Wolfsburg,”
ujar Ketua Wakil VFL Wolfsburg Asia Tenggara, Encik Ken Hew.
Menurut Ken Hew, pihak GMI bersedia untuk menyokong Rania, termasuk menyediakan kursus-kursus khas yang akan membantu peralihannya ke dalam sistem akademik Jerman.
Selain itu, kerjasama ini juga boleh memberi manfaat kepada pemain-pemain muda lain yang berpotensi untuk mengikuti jejak langkah Rania ke Eropah.
Dalam pada itu, Ken Hew juga menjelaskan bahawa Wolfsburg mempunyai hubungan rapat dengan Bayern Munich kerana kedua-duanya berada di bawah naungan syarikat automotif terkemuka, Volkswagen dan Audi.
“Ramai yang tidak tahu bahawa Wolfsburg dan Bayern Munich adalah ‘saudara’ dalam dunia bola sepak. Ini kerana Volkswagen adalah pemilik Wolfsburg, manakala Audi merupakan pemegang kepentingan utama dalam Bayern Munich.”
Dengan reputasi yang kukuh serta struktur pembangunan yang mantap, peluang Rania untuk berkembang di Wolfsburg adalah sangat cerah sekiranya dia terus menunjukkan prestasi yang konsisten.
Tambahnya lagi, Wolfsburg bukan sekadar mahu membawa masuk bakat luar, tetapi juga membantu membangunkan bola sepak wanita di Malaysia dan jika Rania berjaya, ia akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pemain muda yang bercita-cita untuk beraksi di pentas antarabangsa.
Sementara itu, Ken Hew berkata dengan persediaan rapi dan sokongan penuh daripada Wolfsburg, GMI, serta keluarganya, Rania kini berada di laluan yang tepat untuk menjadi bintang bola sepak wanita Malaysia pertama yang berjaya menembusi Bundesliga Wanita.