Tak dapat panggilan Timnas Indonesia, Saddil Ramdani beri fokus penuh pada Sabah FC

Pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani memberitahu sehingga kini beliau tidak lagi dapat panggilan untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan Indonesia biarpun ramai yang merindui pemain itu untuk kembali bersama pasukan kebangsaannya.
Saddil bagaimanapun enggan terlalu memikirkan soal tersebut sebaliknya berkata fokus ketika ini adalah untuk kelabnya Sabah FC.
“Tiada panggilan terkini. Saya fokus sepenuhnya dengan Sabah FC. Tapi saya bangga melihat ramai pemain Indonesia kini bermain di Eropah. Mereka contoh baik untuk generasi muda,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berkata demikian selepas tamat perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam yang menyaksikan Sabah terpaksa akur pulang dengan satu mata selepas seri tanpa jaringan menentang Selangor FC.
“Kami bersyukur dengan satu mata, tapi belum puas. Perlawanan ini menunjukkan kami ada ruang untuk perbaiki kelemahan, terutama dalam menguasai tempoh permainan.”
Keputusan tersebut menyaksikan Sabah kekal berada di kedudukan ketiga Liga Super, manakala Selangor juga kekal berada di kedudukan kedua liga.
Dalam pada itu, Saddil berkata fokus pasukanya kini adalah untuk mendapatkan keputusan positif dalam baki tiga perlawanan musim ini.
“Kami tak boleh ‘overconfident’. Setiap perlawanan adalah final. Kerja keras di latihan dan fokus mental akan tentukan hasil di padang.
Kami perlu tingkatkan stamina dan koordinasi serangan. Pemain seperti saya perlu jadi penyambung antara pertahanan dan penyerang. Tiga perlawanan ini adalah peluang untuk tunjukkan identiti sebenar Sabah.”