Negeri Sembilan FC pilihan tepat buat Luqman Hakim untuk kembali bersinar

2,683

Selepas hampir lima tahun berkelana di Eropah dan Jepun, penyerang Harimau Malaya, Luqman Hakim Shamsudin, dikhabarkan bakal kembali ke saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim hadapan.

Dengan penamatan kontraknya bersama KV Kortrijk pada 30 Jun ini, pemain berusia 22 tahun itu kini sedang mempertimbangkan beberapa tawaran daripada kelab tempatan.


Antara pasukan yang dikaitkan dengan Luqman termasuk Selangor FC (SFC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) serta Kelantan Red Warrior (KRW).

Namun, jika dilihat dari segi peluang mendapatkan minit permainan yang lebih banyak dan kembali menonjol, Negeri Sembilan FCdilihat sebagai pilihan paling ideal untuk penyerang berbakat ini.

Sebagai seorang pemain yang dahagakan aksi di padang, Luqman memerlukan kelab yang boleh memberikan peluang bermain secara konsisten dalam kesebelasan utama. 

Jika memilih NSFC, beliau berpeluang besar untuk menjadi penyerang utama pasukan, sekali gus mengetuai barisan serangan Jang Hobin.

Ini kerana kebanyakan pasukan Liga Super, termasuk Selangor, banyak bergantung kepada penyerang import, yang pastinya akan menyukarkan Luqman untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Oleh itu, jika beliau bersama NSFC, peluangnya akan menjadi lebih cerah kerana kelab tersebut sentiasa memberi peluang kepada penyerang tempatan dan contoh terbaik adalah bekas penyerang kebangsaan Shahrel Fikri yang kembali bersinar selepas menyertai NSFC.

Dalam pada itu, selain faktor ingin dapatkan minit permainan, Luqman mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air kerana faktor keluarga, khususnya untuk lebih dekat dengan ibunya selepas pemergiaan ayah tercinta.

Luqman dalam satu temubual bersama sebuah akhbar tempatan menegaskan bahawa wang bukan keutamaan, sebaliknya lebih kepada peluang untuk beraksi dan terus mengembangkan karier bola sepaknya.

Jika Luqman Hakim benar-benar mahu mendapatkan minit permainan secara konsisten dan kembali menemui sentuhan terbaiknya, NSFC dilihat sebagai destinasi terbaik buatnya.

Dengan pengalaman berharga di Eropah dan Jepun, Luqman berpotensi untuk menjadi nadi utama pasukan dan membuktikan dirinya sebagai salah satu penyerang tempatan terbaik. 

Keputusan kini di tangannya jadi sama-sama kita nantikan kelab manakah menjadi pilihannya.