Kaki Jersi perkukuh sukan ragbi Malaysia melalui penajaan

31

Sukan ragbi di Malaysia kini semakin mendapat perhatian, dan dengan sokongan yang kukuh daripada Kaki Jersi Dot Com (KJ), Kesatuan Ragbi Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk berkembang ke tahap lebih tinggi. 

Ia susulan jenama pakaian sukan terkemuka tanah air itu telah menjalan kerjasama yang mana ia tidak sekadar menaja pakaian sahaja tetapi juga membangunkan ekosistem ragbi negara.


“Kita boleh bangunkan sukan ini supaya sama standard macam bola sepak. Sebab kalau kita bandingkan dekat Eropah, sukan bola sepak dan ragbi berada pada Tahap yang sama dari segi nilai komersial.

Cuma pendekatan kita di Malaysia mungkin sedikit berbeza,”

ujar Pengarah Kaki Jersi, Nik M Iqbal Nik Ibrahim kepada Harimau Malaya.

Menurut Nik lagi, pihaknya sudah pun membuat persiapan rapi untuk menembusi pasaran ragbi sejak dua tahun lalu termasuk mengambil kira faktor seperti kualiti kain, ketahanan, dan reka bentuk yang berbeza antara bola sepak dan ragbi telah diambil kira bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi keperluan pemain ragbi profesional.

“Dalam segi kualiti, berat kain, dan ketahanan, keperluan ragbi berbeza dengan bola sepak. Kami sudah bersedia untuk melangkah ke tahap baharu ini. Ini adalah peluang untuk kami menunjukkan kemampuan sebenar.”

Dalam pada itu, Nik berkata mereka ingin menyumbang kepakaran mereka untuk membantu pasukan kebangsaan dan sambutan positif daripada komuniti ragbi membuatkan mereka lebih bermotivasi untuk terus berinovasi.

Nik yang juga pernah bermain ragbi di peringkat kolej memahami kepentingan sokongan yang berterusan bagi memastikan pembangunan bakat dalam sukan ini.

“Kami percaya ini adalah titik permulaan yang baik. Dengan sokongan berterusan pasukan kebangsaan boleh mencapai tahap yang lebih tinggi dalam sukan ragbi.”

Sementara itu, dengan visi dan komitmen yang jelas, mereka berharap dapat membantu pasukan kebangsaan mencapai kejayaan yang lebih besar, sekaligus menjadikan ragbi sebagai sukan yang setanding dengan bola sepak di negara ini.