Hanya kelab yang memenuhi syarat & kriteria MFL layak ke Liga Super

Saingan Liga Super musim 2024/25 kini sudah berada di penghujung dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pun mengesahkan kejuaraan kesebelas mereka berturut-turut.
Pada masa sama kelab-kelab yang beraksi di Liga Super kini sedang dalam proses untuk melengkapkan dokumentasi yang mana mereka perlu menghantar dokumen-dokumen penting termasuk dokumen kewangan kepada Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB).
Ini kerana setiap kelab yang ingin terus beraksi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan perlu memastikan mereka memenuhi syarat dan kriteria MFL untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan.
Jika urusan dokumentasi mereka gagal dan tidak menepati syarat dan kriteria, FIB tidak akan memberikan Lesen Kebangsaan pada kelab tersebut dan kelab itu tidak akan dapat beraksi di Liga Super pada musim hadapan.
Ia secara tidak langsung memberi isyarat bahawa Lesen Kebangsaan tidak boleh dipindah milik atau mana-mana kelab yang sudah tidak mahu bersaing di Liga Super boleh memberikan slot atau Lesen Kebangsaan kepada kelab lain tidak kira di bawah naungan mereka atau tidak.
Perkara ini menjadi persoalan selepas Presiden Presatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar yang juga Pengerusi KL City FC dalam satu kenyataan kepada media memberitahu bahawa juara Piala Malaysia 2021 itu berkemungkinan akan memilih untuk menarik diri dari bersaing dalam Liga Super pada musim hadapan dan sedia meneruskan perjuangan di liga bawahan.
Langkah drastik itu terpaksa diambil bagi memastikan hutang lapuk dapat diselesaikan, dan Syed Yazid pada masa sama berkata pihaknya tidak akan membiarkan slot KL City kosong sebaliknya beliau mungkin mahu mencadangkan KL Rovers yang sebelum ini bermain di liga semi-profesional Liga A1 beraksi di Liga Super, manakala KL City bermain di liga bawahan.
Sementara itu, walaupun perkara itu adalah sebahagian daripada perancangan awal tetapi tindakan untuk memberikan slot kepada pasukan lain adalah sesuatu yang tidak boleh berlaku kerana setiap kelab yang ingin beraksi di Liga Super perlu mendapatkan Lesen Kebangsaan terlebih dahulu.
Slot Liga Super tidak boleh dipindah milik kerana ia bukan hak milik kekal sesebuah kelab berikutan setiap tahun kelab perlu memperbaharui Lesen Kebangsaan dan jika mereka gagal menepati syarat dan kriteria yang telah ditetapkan, kelab tersebut tidak akan diberikan Lesen Kebangsaan.