MPFL Divisyen 1 2025: Lapan pasukan bersedia buka tirai saingan Sabtu ini

Saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 2025 bakal bermula Sabtu ini, 8 Mac 2025, dengan lapan pasukan bersaing merebut gelaran juara musim ini.
Aksi pembukaan menjanjikan pertembungan sengit, termasuk pertemuan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan pendatang baharu, Malaysian University FT.
JDT, yang tampil sebagai juara musim lalu dengan rekod cemerlang 13 kemenangan dan hanya satu kekalahan, akan melayan kunjungan Malaysian University FT di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada jam 9.30 malam.
Pasukan tuan rumah pastinya mahu memulakan kempen dengan langkah kanan, namun pasukan lawan bertekad mencipta kejutan dalam penampilan sulung mereka di Divisyen 1.
Naib juara musim lalu, Selangor FC, akan beraksi di KSN Panasonic, Shah Alam menentang Kedah, yang merupakan naib juara MPFL Divisyen 2 2024.
Pertembungan ini juga berlangsung pada jam 9.30 malam, dengan kedua-dua pasukan mahu mengutip tiga mata penuh bagi memberikan tekanan awal kepada pencabar lain.
Sementara itu, TOT United FC bakal membuat perhitungan dengan Sabah di Ortuseight Arena, Kuala Lumpur, juga pada jam 9.30 malam.
Musim lalu, TOT United FC yang ketika itu dikenali sebagai Gombak TOT United FC, berjaya menewaskan Sabah 7-5 di gelanggang lawan, namun tewas 3-2 di laman sendiri.
Aksi kali ini pastinya menarik dengan kedua-dua pasukan ingin membuktikan keupayaan masing-masing.
Perlawanan terakhir bagi Hari Perlawanan 1 menyaksikan pertembungan antara juara MPFL 2023, Pahang Rangers, dan KL City FC di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, pada jam 9.45 malam.
Musim lalu, Pahang Rangers berjaya menewaskan KL City dalam kedua-dua aksi dengan keputusan 6-2 di laman sendiri dan 6-0 di tempat lawan, menjadikan mereka pilihan utama untuk perlawanan ini.
Saingan MPFL Divisyen 1 2025 akan berlangsung dengan Hari Perlawanan 1, 2, dan 3 dimainkan sepanjang bulan Ramadan.
Liga kemudian akan bersambung selepas Hari Raya Aidilfitri dengan Hari Perlawanan 4 yang dijadualkan pada 19 April depan.
Dengan kehadiran pasukan baharu dan format liga dua pusingan yang dikekalkan, musim ini dijangka lebih kompetitif dan penuh aksi mendebarkan.