Misi Piala Asia 2027! Timor-Leste atur aksi persahabatan menentang Selangor FC, PDRM FC & Lubnan sebelum kelayakan
Pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 bakal membuka tirainya tidak lama lagi dan kebanyakan pasukan sudah pun mula membuat persiapan rapi termasuk pasukan bola sepak kebangsaan Timor-Leste telah menjadualkan tiga perlawanan persahabatan strategik melibatkan kelab dan pasukan kebangsaan lain.
Ini merupakan langkah proaktif untuk meningkatkan kematangan taktikal dan daya saing skuad tersebut sebelum berdepan cabaran utama.
Timor-Leste akan memulakan persiapan dengan dua perlawanan menentang pasukan liga tempatan Malaysia iaitu menentang PDRM FC pada 11 Mac ini sebelum turun menentang pasukan gergasi Selangor FC pada 16 Mac.
Kedua-dua pertemuan ini penting bagi membiasakan pemain dengan tempo permainan tinggi dan gaya fizikal pasukan Asia yang lebih berpengalaman.
Selepas aksi persahabatan dengan kelab dari Liga Super, Timor-Leste akan berangkat ke Doha, Qatar bagi menghadapi pasukan kebangsaan Lubnan (Kedudukan FIFA #112) dalam perlawanan persahabatan antarabangsa rasmi di bawah slot FIFA Days.
Sebagai pasukan yang berada di tangga ke-197 FIFA, Timor-Leste bakal diuji secara menyeluruh oleh Lubnan yang mempunyai rekod stabil di peringkat Asia Barat.
Perlawanan ini bukan sahaja peluang untuk menimba pengalaman berharga, malah menjadi kayu ukur kemampuan sebenar skuad Timor-Leste sebelum berdepan saingan kelayakan Piala Asia.
Dalam pada itu, sebagai salah satu pasukan yang sedang membangun dalam hierarki bola sepak Asia Tenggara, Timor-Leste dilihat berusaha mencontohi kejayaan negara serantau seperti Vietnam dan Thailand yang kerap melangkah ke Piala Asia.
Sementara itu, jika mereka berjaya melakar prestasi memberangsangkan dalam kelayakan, Timor-Leste berpotensi mencipta sejarah dengan melayakkan diri ke Piala Asia buat pertama kali.
Siri persahabatan ini bukan sekadar latihan, tapi batu loncatan untuk menggapai impian tersebut.
Pusingan akhir Piala Asia 2027 akan berlangsung di Arab Saudi.