Athelead teruskan penajaan pasukan futsal Kedah bagi musim 2025

Pasukan Futsal Kedah secara rasmi melancarkan jersi ‘Home’ musim 2025 hasil penajaan berterusan syarikat pakaian sukan tempatan, At The Lead Outfit Sdn Bhd (Athelead), dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Wisma KFA semalam.
Majlis ini menandakan tahun kedua kerjasama strategik antara Athelead dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), sekaligus memperkukuh komitmen bersama dalam memacu kecemerlangan sukan futsal negeri.
Jersi terkini yang berwarna hijau dan kuning – warna tradisi Kedah – diserahkan secara simbolik oleh Ahmad Fauzi Saari, Pengarah Urusan Athelead, kepada YB Dato’ Mohd Salleh Saidin, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah merangkap Naib Presiden KFA.
Turut hadir ialah Muhamad Farid Ahmad (Penolong Setiausaha Kehormat KFA) dan Mohd Aizad Roslan (Pengurus Pasukan Futsal Kedah), bersama-sama barisan pemain utama yang bakal mengharungi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2025.
Dalam pada itu, bekas lagenda Kedah, Fauzi Saari menekankan hasrat syarikatnya untuk terus menyokong pembangunan atlet muda Kedah.
“Athelead komited menjadi rakan pembangunan sukan negeri. Kejayaan pasukan musim lalu membuktikan wadah ini efektif untuk mencungkil bakat baharu.”
Musim 2025 dijangka menyaksikan Kedah berusaha melayakkan diri ke MPFL Divisyen 1, sekaligus bersaing di peringkat tertinggi futsal kebangsaan.
Kedah akan membuka tirai kempen MPFL pada esok 8 Mac menentang Selangor FC, sebelum melayan kunjungan PDRM Futsal di Alos Setar pada 15 Mac.