Kami belajar dan akan bangkit semula pada perlawan selepas ini – Yazid Kamaruzuan

21

Perlawanan pembukaan MPFL Divisyen 1 2025 menyaksikan Kedah FA tewas 5-1 kepada Selangor FC, namun bagi pemain futsal Kedah FA, Yazid Kamaruzuan, kekalahan ini adalah satu pengajaran berharga buat pasukan yang baru naik ke Divisyen 1 musim ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur mendapat tawaran daripada Kedah. Ini adalah perlawanan pertama kami dalam MPFL Divisyen 1 setelah dinaikkan dari Divisyen 2. Hari ini adalah satu pengalaman yang bermakna bagi kami,”

katanya.

Menurut Yazid, tiada gunanya untuk mereka menoleh ke belakang, sebaliknya mereka perlu kembali bangkit dengan bekerja keras dalam latihan.


“Kita akan kembali fokus kepada latihan minggu depan. Tiada guna untuk terus melihat ke belakang. Kita perlu terus maju ke hadapan dan perbaiki kesilapan yang telah dilakukan. 

Jika sebelum ini kita bekerja keras, sekarang kita perlu berusaha tiga kali ganda lebih kuat kerana saingan Divisyen 1 jauh lebih kompetitif daripada Divisyen 2.”

Tambahnya lagi pasukan Kedah terdiri daripada ramai pemain muda dan mereka percaya kepada projek jangka panjang yang dirancang oleh pihak pengurusan serta barisan kejurulatihan.

Dalam pada itu, Yazid turut mengulas lanjut penghijrahannya ke Kedah yang disifatkan memberi cabaran tersendiri buat dirinya terutama dari segi keserasian dengan pasukan baharu dan pemain import.

“Secara peribadi, saya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Namun, saya dan rakan sepasukan cuba untuk memahami antara satu sama lain di atas gelanggang. Walaupun masih ada sedikit kekurangan, kami sudah mula membina keserasian.”

Tambahnya lagi, beliau mengambil keputusan untuk menyertai Kedah kerana mahu mencabar dirinya dan membantu pasukan pergi sejauh mungkin dalam liga.

Sementara itu, Yazid berkata walaupun mereka memulakan kempen MPFL dengan langkah kiri tetapi beliau berkata pasukan tetap bersemangat tinggi untuk terus berjuang sehingga penghujung musim.