Faisal Halim bersedia kembali sarung jersi Harimau Malaya?

225

Setelah menempuh musim yang penuh cabaran, pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim kini kembali menemui sentuhan jaringan apabila mencipta hatrik gemilang dalam kemenangan besar pasukannya ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 dalam saingan Liga Super 2024/2025 baru-baru ini.

Jaringan tersebut sekaligus menamatkan kemarau gol selama 447 hari, kali terakhir Faisal menjaringkan gol adalah ketika menentang PDRM FC musim lalu. 


Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan kualitinya sebagai pemain sayap prolifik tetapi juga memberi isyarat bahawa beliau sudah bersedia untuk kembali ke pentas antarabangsa bersama Harimau Malaya.

Pada bulan Mei lalu, Faisal berdepan detik hitam dalam hidupnya apabila menjadi mangsa serangan asid, yang menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang dan menjalani beberapa pembedahan bagi memulihkan kecederaannya.

Namun, ketabahan dan semangat juang tinggi menyaksikan Faisal kembali ke padang dalam perlawanan menentang KDN FC, di mana beliau dimasukkan pada minit ke-86. 

Sejak itu, prestasinya terus meningkat dan kini beliau kembali ke prestasi terbaiknya, memberikan bayangan bahawa beliau bersedia untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini melantik Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya bagi membawa pasukan ke satu tahap lebih tinggi. 

Malaysia kini bersiap sedia untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, di mana mereka yang berada dalam Kumpulan F akan turun menentang Nepal pada 25 Mac ini.

Walaupun skuad negara dijangka diperkuat dengan beberapa pemain warisan baharu, kebangkitan Faisal dalam tempoh kebelakangan ini mungkin akan menarik perhatian Cklamovski. 

Dengan hanya juara kumpulan yang layak ke pusingan akhir, Malaysia perlu menampilkan skuad terbaik dan kehadiran Faisal boleh menjadi senjata utama dalam usaha Harimau Malaya mencipta sejarah.

Dengan lebih kurang dua minggu sebelum aksi pertama kelayakan, senarai pemain untuk dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya masih belum diumumkan. 

Namun, dengan prestasi semasa dan kebolehannya mencipta impak besar dalam perlawanan, Faisal berpotensi besar untuk kembali memperkuatkan Harimau Malaya.

Adakah kita akan melihat Faisal Halim kembali menyarung jersi kebangsaan dan membantu Malaysia dalam misi ke Piala Asia 2027? Sama-sama kita nantikan!