Peminat nanti-nantikan pengumuman skuad Harimau Malaya: Bersediakah pasukan kebangsaan?

Dengan hanya beberapa hari menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027, peminat bola sepak Malaysia semakin resah menanti pengumuman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketua jurulatih, Peter Cklamovski, berhubung senarai pemain yang akan dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya.
Ketiadaan maklumat jelas tentang skuad mahupun perlawanan persahabatan sebagai persiapan mencetuskan persoalan: Adakah pasukan kebangsaan benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran kritikal ini?
Sehingga kini, FAM masih belum mengumumkan senarai pemain yang akan menyertai kem latihan pusat, meskipun aksi pertama menentang Nepal di Kumpulan F bakal berlangsung pada 25 Mac 2025.
Lebih membimbangkan, tiada perlawanan persahabatan dijadualkan untuk menguji kesiapsiagaan taktikal dan fizikal skuad.
Situasi ini mengundang kritikan daripada peminat yang bimbang pasukan mungkin memasuki perlawanan pentas tanpa persediaan mencukupi.
Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan F bersama Nepal, Vietnam, dan Laos. Meskipun Laos dan Nepal dianggap sebagai pasukan sederhana, cabaran sebenar datang daripada Vietnam, pasukan yang konsisten di puncak bola sepak ASEAN.
Berdasarkan format kelayakan, hanya juara kumpulan akan layak automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Untuk mara, Malaysia perlu mengatasi Vietnam – tugas yang memerlukan persiapan teliti, terutamanya dalam aspek kestabilan pertahanan, ketajaman serangan dan kematangan mental dalam mengawal tekanan tinggi dalam perlawanan penting.
Jika berjaya melayakkan diri, Malaysia akan mencipta sejarah tersendiri yang layak ke Piala Asia secara merit untuk dua edisi berturut-turut (2023 dan 2027).
Prestasi ini bukan sekadar kebanggaan nasional, tetapi juga bukti perkembangan bola sepak tempatan.
Dalam pada itu, Peter Cklamovski yang dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pada awal tahun ini, berdepan ujian pertama yang besar.
Perlawanan pertama menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 25 Mac adalah penting untuk membina momentum.
Kemenangan besar bukan sahaja meningkatkan keyakinan, tetapi juga memberi kelebihan psikologi sebelum berdepan Vietnam.
Peminat Malaysia tetap setia berharap FAM dan Peter Cklamovski segera mengambil tindakan proaktif.
Pengumuman skuad, latihan intensif, dan perlawanan persahabatan perlu dipercepatkan bagi memastikan Harimau Malaya tidak masuk gelanggang dalam keadaan “separuh masak”.