Thailand & Indonesia jadi halangan skuad negara dalam AFF Futsal 2022
Malaysia sekali lagi diundi dalam kumpulan maut pada kejohanan AFF Futsal 2022 yang bakal berlangsung di Thailand pada bulan April. Skuad negara berada dalam kumpulan A bersama-sama juara bertahan dan tuan rumah, Thailand, Indonesia, Kemboja dan Brunei.
Kejohanan yang menawarkan tiket automatik kepada tiga pasukan terbaik ke Piala Asia Futsal di Kuwait pada September akan menjadi sasaran utama untuk skuad negara.
Jika rekod terdahulu diambil kira, pencapaian terbaik skuad negara adalah meraih tempat kedua sebanyak lima kali iaitu pada edisi 2003, 2005, 2010, 2017 dan 2018.
Misi yang agak sukar namun tidak mustahil untuk skuad negara di bawah kendalian Chiew Chun Yong memandangkan skuad futsal negara menamatkan aksi pada edisi 2019 di Vietnam pada kedudukan terakhir dalam kumpulan setelah tumpas dalam semua perlawanan kumpulan yang dibarisi oleh Vietnam, Indonesia dan juga Australia.
Namun yang menggusarkan apabila membandingkan rekod terdahulu menentang pasukan seperti Thailand dan Indonesia. Thailand sudah semestinya berada di peringkat yang jauh daripada pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain.
Berbanding Malaysia yang hanya layak sekali ke Piala Dunia Futsal pada tahun 1996, skuad futsal Thailand telah berjaya untuk layak ke temasya tersebut sebanyak enam kali berturut-turut bermula pada tahun 2000 sehingga edisi 2021 yang lalu. Skuad Thailand berjaya mara ke pusingan kedua pada edisi tahun lalu di Lithuania sebelum ditumpaskan Kazakhstan 7-0.
Rekod pertemuan menentang negara jiran juga tidak begitu baik. Daripada pertemuan sebanyak 25 kali, skuad negara hanya berjaya meraih 1 kali seri dan selebihnya tewas.
Sementara itu, rekod menentang seteru nusantara Indonesia juga tidak baik, daripada 24 pertemuan, skuad negara berjaya memperoleh kemenangan sebanyak 9 kali, 3 kali seri dan 12 kekalahan di mana pertemuan terakhir dalam AFF Futsal 2019 menyaksikan skuad negara tumpas 2-3.
Dengan Liga Futsal Premier Kebangsaan yang kembali diadakan selepas dibatalkan untuk dua musim berturut-turut, amat menarik untuk melihat apakah perancangan terbaik yang akan dilakukan oleh Chiew Chun Yong dalam memilih barisan pemain terbaik untuk menghadapi kejohanan tersebut.
Cuma berita kurang menarik untuk ditelan adalah kecederaan serius yang dialami oleh pemain Pahang Rangers, Awaluddin Mat Nawi dilihat sedikit merencatkan perancangan beliau. Awaluddin merupakan salah seorang pemain yang kerap dipanggil untuk membarisi skuad kebangsaan disebabkan oleh kualiti yang dimiliki oleh beliau.
Nama-nama yang dijangka akan dibawa sudah pasti Khairul Effendy Bahrin yang terlepas edisi 2019 akibat kecederaan, Ridzwan Bakri, Saiful Nizam Mohd Ali, Abu Haniffa Hassan dan penjaga gol utama skuad kebangsaan Azrul Hadee Mohd Taufiq.
Mungkin pengendali skuad kebangsaan itu boleh berkira-kira untuk memanggil muka-muka baru yang dilihat menyerlah dalam liga untuk diadunkan dengan pemain-pemain yang berpengalaman untuk menjadi senjata utama skuad negara.
Siapa tahu gandingan muka lama dan baru ini dapat mencipta kejutan untuk meloloskan diri ke peringkat separuh akhir dan seterusnya memburu tiket ke Piala Asia pada September nanti.