Saiful Naemz optimis dengan KDA FC biarpun kini dalam krisis

47

Dalam dunia bola sepak, penyokong adalah nadi utama yang memberi semangat kepada pasukan. Saiful Naemz Geng Bola, seorang penyokong tegar Kedah Darul Aman FC (KDA FC), berkongsi pandangannya tentang prestasi pasukan, cabaran kewangan, dan harapan sebagai peminat setia dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Menurut Saiful, meskipun Kedah mengalami masalah kewangan dan kehilangan beberapa pemain utama, pasukan masih menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam saingan Liga Super Malaysia 2024/25.


“Secara keseluruhan, kita masih boleh berpuas hati dengan skuad yang ada. Pada awal musim, pasukan nampak baik, tetapi disebabkan isu kewangan, seorang demi seorang pemain keluar. Sekarang hanya tinggal dua pemain import. Tapi Alhamdulillah, Kedah masih mampu berjuang dalam liga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Saiful juga mengulas mengenai perubahan jurulatih apabila Nafuzi Zain meletakkan jawatan dan digantikan oleh Victor Andrag, bekas legenda Kedah.

“Semestinya perubahan ini memberi kesan, tetapi Coach Victor bukan orang asing dalam pasukan. Dia sudah lama bersama Kedah dan memahami gaya permainan pasukan. Saya yakin dia mampu membawa Kedah ke tahap lebih baik.”

Perubahan taktikal juga dapat dilihat dalam Challenge Cup, di mana Victor Andrag berani memberi peluang kepada pemain bawah 23 tahun untuk menunjukkan kemampuan mereka.

“Kita nampak pemain muda seperti Daniel Tamizi semakin menonjol. Perubahan ini positif kerana ia memberi peluang kepada bakat muda untuk berkembang.”

Dalam pada itu, Saiful berkata salah satu cabaran terbesar yang dihadapi Kedah musim ini adalah isu tunggakan gaji pemain, di mana beberapa pemain telah bertahan tanpa gaji selama 10 bulan.

Untuk menangani masalah ini, kelab telah memperkenalkan inisiatif “The Wing”, satu sistem keahlian penyokong bagi membantu kewangan kelab.

“The Wing ini macam program keahlian di mana penyokong boleh menyumbang serendah RM10. Target sekarang ialah 20,000 ahli, tetapi kita harapkan lebih ramai yang menyertai untuk membantu pasukan.”

Menurutnya, penyertaan dalam The Wing bukan hanya untuk penyokong Kedah, tetapi juga terbuka kepada peminat bola sepak Malaysia yang mahu melihat Liga Malaysia berkembang.

Sementara itu, Saiful turut menyuarakan kebimbangan mengenai penurunan jumlah kehadiran penyokong di stadium berbanding zaman kegemilangan Kedah dahulu.

“Dulu, penyokong sanggup beratur panjang untuk masuk stadium. Sekarang, jumlahnya makin berkurang. Penyokong kena faham bahawa pembelian tiket adalah salah satu sumber pendapatan utama kelab.”

Sebagai seorang penyokong dan pencipta kandungan di TikTok, Saiful berusaha memperkenalkan kembali sejarah legenda-legenda Kedah kepada generasi muda agar mereka lebih mengenali dan menghargai kelab ini.

Walaupun Kedah kini berdepan pelbagai cabaran, Saiful berharap pasukan dapat menamatkan musim ini dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan sama pada musim depan.

Dengan semangat juang penyokong dan usaha pengurusan, diharapkan Kedah akan terus bangkit dan kembali menjadi kuasa besar bola sepak Malaysia. Ayuh Hijau Kuning!