Senarai pemain Harimau Malaya diumum esok: Siapa bakal terpilih?

2,825

Esok bakal menjadi hari yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak Malaysia apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai pemain yang akan menyarung jersi Harimau Malaya untuk menghadapi perlawanan menentang Nepal pada 25 Mac 2025.

Dilaporkan esok akan berlangsung satu sidang media khas yang akan dihadiri oleh ketua jurulatih Harimau Malaya baharu, Peter Cklamovski, di mana beliau akan mengumumkan barisan pemain yang dipilih untuk kem latihan pusat skuad negara bagi mengharungi kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.


Untuk kempen kelayakan Piala Asia 2027, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos.

Kempen kali ini cukup mencabar kerana hanya juara juara kumpulan yang akan layak ke pusingan akhir di Arab Saudi, menjadikan setiap perlawanan amat penting bagi Harimau Malaya.

Perlawanan pertama menentangNepal pada 25 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor, bakal menjadi ujian pertama buat skuad baharu di bawah kendalian Peter Cklamovski.

Bola sepak Malaysia kini sedang melalui fasa revolusi besar-besaran dengan matlamat meningkatkan kualiti skuad kebangsaan dan mengukuhkan kedudukan di peringkat ASEAN, Asia, dan seterusnya ke Piala Dunia.

Sebagai sebahagian daripada transformasi ini, FAM telah melantik beberapa individu penting untuk mengisi struktur organisasi Harimau Malaya, termasuk:

Peter Cklamovski (Australia) – Ketua Jurulatih Harimau Malaya
Nafuzi Zain – Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 Tahun
Rob Friend (Kanada) – Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan Kebangsaan
Dr Craig Duncan (Australia) – Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan

Pelantikan ini diharapkan dapat membawa strategi baharu, sistem pengurusan lebih efisien, serta meningkatkan tahap profesionalisme dalam skuad negara.

Dengan hanya beberapa hari lagi sebelum kempen kelayakan bermula, persoalan utama kini tertumpu kepada senarai pemain yang akan dipilih oleh Peter Cklamovski.

Adakah pemain utama seperti Faisal Halim, Arif Aiman, dan Stuart Wilkin akan kembali ke skuad? Bagaimana pula dengan pemain warisan baharu yang dikhabarkan akan memperkuatkan pasukan?

Semua jawapan akan terungkai esok. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi dari FAM!