Kami tidak merancang untuk atur perlawanan persahabatan ketika kem latihan – Peter Cklamovski

1,803

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia baharu, Peter Cklamovski memberitahu bahawa beliau tidak merancang untuk mengatur sebarang perlawanan persahabatan sepanjang tempoh kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula pada 17 Mac ini.

“Kami tidak merancang untuk mengaturkan perlawanan persahabatan dalam kem ini, sebaliknya kami akan menggunakan masa di padang untuk latihan dan sesi dalaman. 

Bagaimanapun akan ada perlawanan latihan tertutup antara pemain skuad sendiri bagi memastikan semua konsep latihan diaplikasikan dengan baik sebelum berdepan Nepal,” 

katanya.

Cklamovski berkata walaupun tempoh kem latihan pusat tidak panjang, tapi mereka akan memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada untuk membina mentaliti berpasukan yang kuat, membuat persiapan terbaik dan memberikan persembahan yang penuh komitmen, semangat, serta intensiti tinggi untuk membuat rakyat Malaysia bangga.


Terdahulu setelah sekian lama menanti, Cklamovski akhirnya telah mengeluarkan senarai 27 pemain yang dipanggil bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 iaitu bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa, 25 Mac 2025.

Skuad Harimau Malaya akan berlatih selama lapan hari di Johor Bahru sebelum aksi pembukaan menentang Nepal pada 25 Mac 2025.

Dalam pada itu, Cklamovski mengakui terlibat dalam projek revolusi Harimau Malaya adalah satu penghormatan dan juga satu tanggungjawab besar.

“Ia adalah amanah yang saya galas dan saya rasa semua orang teruja serta berharap terhadap revolusi bola sepak Malaysia. Saya percaya penting untuk kita memahami bahawa revolusi ini adalah satu projek jangka panjang, satu legasi yang ingin dibawah oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ).

Ia bukan sesuatu yang akan berlaku dalam sekelip mata. Apa yang kita lakukan sekarang ialah membina asas untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.”

Beliau pada masa sama percaya projek ini boleh mencapai tahap yang lebih tinggi jika mereka bergerak selangkah demi selangkah, namun dalam masa sama mereka mempunyai sasaran jangka pendek yang jelas iaitu layak ke Piala Asia 2027.

“Untuk mencapai matlamat itu, kita mesti menjuarai kumpulan kelayakan ini. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan untuk sekian lama, mungkin lebih sedekad sejak kali terakhir Malaysia berjaya menjuarai kumpulan dalam fasa kelayakan. 

Kali ini, tiada tempat kedua atau naib juara, kerana formatnya berbeza. Kita perlu menang, perlu menjadi juara kumpulan, dan skuad ini adalah langkah pertama ke arah itu. Kami sangat fokus kepada lawan seterusnya, sangat teruja untuk memasuki kem latihan, bekerja keras, membuat persiapan yang terbaik, dan memberikan persembahan yang mantap. Kami mahu membentuk pasukan yang boleh dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia, mendapatkan tiga mata pertama, dan terus membina momentum.”

Sementara itu, menjelang perlawanan pertama menentang Nepal nanti beliau enggan memandang rendah sebaliknya berkata pasukan Nepal bukan lawan yang mudah kerana mereka mempunyai semangat juang yang tinggi dan ketua jurulatih dari Australia, Matt Ross yang berpengalaman dalam membimbing pasukan dengan baik.